Siakap Keli
Gambar hiasan via Kompas

Dah Sediakan Nama Anak Sebelum Berkahwin, Ayah Bagi Nama Anak ‘ABCDEF GHIJK Zuzu’

Seorang pelajar lelaki di wilayah Muara Enim, Sumatera Selatan memiliki nama unik yang diberikan ayahnya, iaitu ABCDEF GHIJK Zuzu.

Ayahnya, Zulfahmi, 41, mendakwa dia sudah bercadang untuk menggunakan nama tersebut sejak sebelum mengahwini isterinya, Zuhro Liani, 36.

Jelas Zulfahmi, anaknya yang juga dikenali sebagai Adebz atau Adef itu sering dipanggil gurunya di sekolah dengan panggilan yang berbeza-beza.

“Ada yang panggil abjad, ada yang panggil dia ABCD. Tapi tak ada masalah, saya tetap bangga dengan nama itu,” katanya, memetik laporan Kompas.

Bagaimanapun, Zulfahmi mengakui dia pernah menghadapi kesukaran berurusan melibatkan dokumen penting gara-gara ‘keunikan’ nama tersebut.

“Saya juga pernah terasa sukar nak uruskan kad pengenalan keluarga dan akta kelahiran Adef (anaknya) kerana saya dianggap bergurau,” katanya.

Malah katanya, permohonan sijil kelahiran dan tempat lahir pun menjadi rumit hingga dia terpaksa berulang-alik ke hospital meminta surat pengesahan doktor.

Tidak kurang juga, Zulfahmi mengakui dia pernah sampai ‘bertekak’ dengan petugas di jabatan ekoran isu nama ‘unik’ anaknya itu.

Difahamkan, Adef bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak suatu hari nanti dan Zulfahmi kerap mendoakan agar impian anaknya itu tercapai.

Sumber: Kompas

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'