Siakap Keli
Gambar: UNEP

Malaysia Hantar Delegasi Khas Ke Persidangan Perubahan Iklim Di Scotland

SHAH ALAM, 21 Okt (Bernama) — Malaysia akan menghantar delegasi khas bagi menghadiri Persidangan Perubahan Iklim (COP26) di Glasgow, Scotland bermula 31 Oktober ini bagi memuktamadkan rundingan beberapa isu berkaitan pelaksanaan Perjanjian Paris yang telah tertunggak sejak 2018.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata antara perkara yang akan dibincangkan adalah berkenaan ketelusan dan pembangunan pelaporan maklumat dalam Biennial Transparency Report dan teknikaliti mekanisme pasaran karbon di bawah Artikel 6 Perjanjian Paris.

“Turut akan disentuh pada persidangan tersebut ialah mengenai tempoh masa pelaksanaan Nationally Determined Contributions (NDC) berkenaan iklim dan pembiayaan perubahan iklim untuk negara membangun,“ katanya pada Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Kebangsaan 2021 secara dalam talian hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari selaku tuan rumah.

Tuan Ibrahim berkata delegasi tersebut akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Beliau berkata KASA pada masa yang sama juga sedang menyediakan garis panduan pasaran karbon dan dasar harga karbon sebagai garis panduan yang jelas kepada pihak tertentu yang akan menyertai pasaran karbon sukarela selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030.

“KASA akan memastikan aktiviti perdagangan karbon tidak menjejaskan pencapaian pengurangan GHG negara,” katanya.

Mengenai sasaran kutipan e-waste atau e-sisa pada tahun ini iaitu sebanyak 800 tan metrik e-waste yang ditetapkan sejak Januari lepas, setakat ini katanya sebanyak 432 tan metrik telah dikumpul dan kerjasama semua rakyat diperlukan bagi membantu mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Bagi memastikan e-waste yang terkumpul dari isi rumah dikendalikan oleh kemudahan yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar secara selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar, KASA telah menetapkan bahawa hari Sabtu terakhir setiap bulan diisytiharkan sebagai hari pengumpulan e-waste di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berkata cabaran kini adalah untuk memulihkan kegiatan ekonomi tanpa mencetuskan semula kemerosotan kualiti alam sekitar.

“Justeru, dalam mendepani cabaran dan merungkai masalah pencemaran alam sekitar yang silih berganti, sinergi antara agensi-agensi di peringkat persekutuan dan negeri harus terus digembleng melalui aktiviti penguatkuasaan yang menyeluruh dan mengekalkan momentum sedia ada.

“Saya percaya, kita berada pada satu landasan yang tepat dan sekata dalam menguruskan alam sekitar secara lestari melalui empat tunjang utama iaitu tadbir urus yang baik; instrumen perundangan yang ampuh; penguatkuasaan menyeluruh serta pendidikan dan kesedaran secara berterusan,” katanya.

Sumber: Bernama

Eyla Azri