Siakap Keli

NGO Bersembunyi Di Sebalik Kebaikan Dan Kebajikan

TRONOH, 23 Oktober 2021 – Baru-baru ini tular berkenaan badan bukan kerajaan (NGO) umumnya dikecam dan dituduh hebat kerana ada sebahagiannya terlibat dengan  pengubahan wang haram, menggunakan tabung kebajikan untuk kegunaan sendiri dan  pelbagai lagi isu berkenaan NGO sejak akhir ini.  

Lantaran itu, Annur Quranic Centre (AQC) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan  Muslim (MyFundAction) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Johor telah menganjurkan satu e forum bersempena dengan Maulidur Rasul pada tahun ini. Sejajar dengan tema Maulidur  Rasul Kebangsaan pada tahun ini, iaitu, “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”. 

Hal ini adalah amat penting sebagai panduan kepada masyarakat tentang bagaimana  cara yang terbaik untuk melaksanakan amal kebajikan dan kebaikan. Melalui e–forum ini juga,  masyarakat dapat mengetahui platform atau organisasi manakah yang mereka harus pilih  untuk bekerjasama dan seterusnya menyokong projek-projek kebajikan dengan amanah dan  telus. Justeru, e-forum ini adalah bertujuan untuk mengajak dan mendidik masyarakat sesuai  dengan prinsip Dasar Manhaj Rabbani iaitu Rahmat, Aman, Bertuhan, Bakti, Adil dan Insani. 

Sehubungan dengan itu, masyarakat dapat menjadikan Rasulullah dan para sahabat  sebagai panduan kehidupan untuk berakhlak dan bersikap dalam usaha menjayakan projek  amal kebajikan melalui perkongsian program ini.  

Oleh yang demikian, forum yang bertajuk “Keteladanan Kepimpinan & Kepahlawanan  Rasulullah SAW” membincangkan isu ketelusan NGO atau individu dan akan dikaitkan dengan  contoh pentadbiran dan kepimpinan yang diketengahkan oleh Rasulullah dan para sahabat. 

Dr. Hj Mohd Hizul Azri Hj Md Noor, 52, yang merupakan Pengasas dan Penasihat  Utama MyFundAction tampil berani bersama Ketua PDRM Johor, Dato’ Ayob Khan Mydin  Pitchay dalam mengulas permasalahan dan stigma masyarakat sekarang berkenaan NGO dan  individu yang melaksanakan amal kebajikan. Pihak MyFundAction mengharapkan program ini  menjadi titik permulaan bagi semua pihak untuk mengadakan kerjasama yang berterusan  dengan lebih berintegriti, telus dan amanah pada masa akan datang.  

MyFundAction juga amat mengalu-alukan kehadiran semua sama ada syarikat  korporat, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu perseorangan untuk bekerjasama  dengan MyFundAction bagi membantu lebih ramai masyarakat yang kurang bernasib baik  pada masa akan datang sama ada di Malaysia mahupun di luar negara.

Siti Fatimah