Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Buat Pertama Kali, Pakar Bedah Dilapor Berjaya Pindahkan Buah Pinggang Babi Ke Manusia

Pakar bedah di Amerika Syarikat dilaporkan telah berjaya memindahkan buah pinggang seekor babi kepada manusia buat pertama kalinya.

Buah pinggang tersebut difahamkan berfungsi sebagaimana yang sepatutnya, iaitu menyaring sisa dan mengeluarkan air kencing tanpa mencetuskan penolakan oleh sistem imun penerima.

Prosedur yang dilakukan di NYU Langone Health di New York itu menandakan satu ‘lagkah penting’ dalam usaha selama puluhan tahun untuk menggunakan organ haiwan bagi menyelamatkan nyawa manusia.

Prosedur tersebut melibatkan penggunaan seekor babi yang gennya telah disuaikan bagi memastikan tisunya tidak lagi mengandungi molekul yang akan memicu penolakan.

Menurut pakar, penerima organ tersebut adalah seorang pesakit yang mengalami mati otak di New York dengan tanda-tanda buah pinggang yang tidak berfungsi di mana keluarganya bersetuju untuk melakukan eksperimen tersebut sebelum alat bantuan pernafasannya dicabut.

Hasil ujian fungsi buah pinggang yang dipindahkan ‘kelihatan cukup normal’, kata pakar bedah transplant, Dr. Robert Montgomery, yang mengetuai kajian tersebut.

Buah pinggang itu menghasilkan ‘jumlah air kencing yang diharapkan dari buah pinggang manusia,’ katanya. Penolakan boleh dilihat berlaku apabila buah pinggang babi yang tidak disuaikan dipindahkan kepada bukan manusia.

Tahap kreatinin yang tidak normal penerima – petunjuk fungsi buah pinggang yang lemah – kembali normal selepas pemindahan itu, kata Montgomery.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right