Siakap Keli
Gambar: Suara

Lelaki Dakwa Temui Ekzos ‘Racing’ Mirip Seperti Miliknya Yang Disita Polis Dijual Dalam Talian, Ini Respon Polis

Seorang lelaki di Medan bingung apabila mendakwa mendapat tahu eksoz racing motosikal miliknya yang baru saja disita polis, seakan ditemui semula dijual di pasaran online.

Menurut laporan Suara, pada asalnya lelaki itu dilapor telah disaman polis gara-gara didakwa tidak mematuhi undang-undang jalan raya hingga menyebabkan motosikalnya disita di Balai Polis Lapangan Merdeka, Medan.

“Disita pada 14 Oktober 2021. Saya ambil semula pada 19 Oktober 2021 dengan catatan eksoznya dirampas.

“Katanya, eksoz itu akan dilupuskan,” kata lelaki itu dalam video TikToknya seperti yang dilaporkan dalam Suara baru-baru ini.

Bagaimanapun pada 20 Oktober berikutnya, lelaki itu terkejut kerana menemui sebatang eksoz racing yang mirip dengan kepunyaannya dijual di ruangan iklan Facebook Marketplace.

Difahamkan, dia berasakan bahawa eksoz racing yang ditemui dalam iklan tersebut adalah eksoz miliknya seperti yang disita polis sebelum itu.

Gambar: Suara

Namun sangkaan lelaki itu dipatahkan jurucakap polis, Sonny W Siregar apabila pegawai berkenaan mendedahkan bahawa agak mustahil untuk pihaknya menjual kembali barang rampasan.

Jelas Sony, pihak polis sudah melakukan pengecaman serta penelitian terperinci dan mengesahkan bahawa eksoz lelaki itu memang benar-benar dirampas dan dikumpulkan di balai polis.

“Semua eksoz hasil rampasan polis diletakkan dalam jaring besi di sebatang pokok (di balai). Tak mungkin ada pegawai yang menjualnya semula. (Malah) eksoz yang dipulangkan semula pasti akan dilabel,” katanya.

Tambah Sony, pihak polis akan menjalankan siasatan ke atas lelaki itu berikutan dakwaan dalam videonya di TikTok, selain turut memintanya hadir ke balai polis untuk mengecam sendiri eksoz tersebut.

Sumber: Suara

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'