Bila penggunaan internet semakin berkembang, periklanan secara dalam talian juga semakin memuncak dan terus disebarkan kepada pengguna dengan meluas.
Rata-rata dari pengguna internet pastinya pernah merasa rimas dengan kewujudan ‘pop-ups ads’ yang akan muncul apabila melayari sebarang browser.
Sehingga kini, ia masih lagi ‘menghantui’ pengguna dengan pelbagai iklan yang disiarkan berdasarkan minat atau gelagat pengguna internet. Disebabkan itu, ia menjadi salah satu bentuk periklanan yang tidak disukai oleh masyarakat di seluruh dunia.
Sedar akan hal itu, pencipta ‘pop-ups ads’ pernah meminta maaf kepada seluruh dunia kerana telah mencipta fungsi tersebut.
Menerusi laporan portal Forbes tujuh tahun lalu, Ethan Zuckerman menjelaskan bahawa dia secara tidak sengaja telah mencipta iklan sebegitu sehingga dibenci oleh pengguna internet.
“Ia adalah cara untuk mengaitkan iklan dengan halaman pengguna tanpa meletakkannya terus di halaman.
“Saya telah menulis kod untuk melancarkan window dan menyiarkan iklan di dalamnya, saya minta maaf, niat saya baik,” kata Ethan.
Ujarnya lagi, dia telah mencipta fungsi itu semasa bekerja untuk Tripod.com pada akhir tahun 90-an. Ia merupakan sebuah laman web yang memasarkan kandungan dan perkhidmatan kepada graduan.
Difahamkan, laman web itu mengubah model perniagaan mereka setelah konsep awal gagal diterapkan. Setelah pelbagai cara dilakukan untuk memastikan perniagaan terus berjalan lancar, mereka telah menjadikan iklan sebagai aliran pendapatan utama dan disitulah segalanya bermula.
“Model yang membuatkan kami memperoleh pendapatan adalah menganalisi laman web peribadi pengguna supaya kami dapat menyasarkan iklan kepada mereka dengan lebih baik.
“Kami akhirnya membuat salah satu alat yang paling dibenci dalam toolkit pengiklan iaitu ‘pop-ups ads’,” katanya.
Dalam pada itu, Ethan juga mengatakan bahawa model periklanan lain perlu diterokai lagi dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kehendak pengguna.
Sumber: Forbes