Siakap Keli
Gambar: CyprusDailyNews.com

Lain ‘Macam’, Wanita Ini Pecah Masuk Rumah Orang, Tukar Kunci Kemudian Mengaku Itu Rumahnya

Seorang wanita ditahan pihak polis selepas didapati memecah masuk sebuah rumah dan mengaku kepada pihak polis bahawa rumah itu miliknya.

Insiden itu dilaporkan terjadi di San Diego, Amerika Syarikat pada malam Khamis.

Dalam satu kenyataan di Instagram, Jabatan Polis Coronado, (CPD) menyatakan bahawa mereka telah menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita dari luar kawasan yang mengaku pemilik sebenar rumah berkenaan. Pemanggil itu menyatakan seorang jiran melaporkan telah ternampak “aktiviti mencurigakan” di dalam rumah tersebut, termasuk lampu di dalam rumah itu dilihat dipasang dan dimatikan.

Ketika polis bertindak balas atas laporan di rumah itu, CPD menyatakan bahawa mereka menemui tombol kunci pada pintu hadapan telah rosak, bersama dengan “kepingan besi dan kunci lama”.

Pintu belakang rumah itu dilaporkan terbuka, membolehkan pegawai melihat kawasan dalam rumah berkenaan. Muzik yang kuat juga kedengaran.

Pemanggil talian 911 itu juga turut memberitahu polis bahawa tiada sesiapa pun yang patut ada di rumahnya ketika dia sedang bercuti serta tidak pernah meminta kunci rumahnya itu ditukar.

Seorang jiran memberikan pihak polis kunci pendua rumah itu, namun ianya tidak lagi boleh digunakan kerana tombol kunci itu telah rosak.

Setelah meneliti dengan lebih lama, kenyataan itu menyatakan bahawa anggota polis dapat melihat beberapa sosok berjalan-jalan di tingkat dua rumah berkenaan. CPD kemudiannya menghubungi bantuan, dan pihak polis merespon dengan menghantar helikopter serta unit K-9.

Selepas diarahkan untuk keluar dari rumah tersebut, CPD dilaporkan berjaya menahan wanita berusia 43 tahun itu tanpa perlu bergelut, menurut kenyataan.

Ketika disoal, wanita berkenaan menyatakan bahawa rumah itu miliknya dan turut terdapat dua kanak-kanak di dalam rumah tersebut.

Polis sedang bersedia untuk menghantar unit K-9 masuk ke dalam rumah tersebut kerana takut mereka akan mencederakan kanak-kanak di dalam rumah itu. Walau bagaimanapun, ketika rumah tersebut diperiksa, tiada kanak-kanak atau orang lain ditemui dalam rumah itu.

Wanita itu menyatakan bahawa dia telah menghubungi tukang kunci pada awalnya untuk menukar kunci pintu hadapan. Namun, polis memilih untuk tidak mempercayai ceritanya, dan wanita itu terus ditahan, dimasukkan ke penjara dan didakwa atas kesalahan kecurian.

Sumber: Newsweek

Aqmal Ezany

I write what is right