Siakap Keli

Sengaja Bakar Hutan Hingga Memusnahkan Alam, 24 Individu Di Syria Dikenakan Hukuman Mati

Syria beberapa hari lalu telah menjatuhkan hukuman mati ke atas 24 orang atas kesalahan keganasan kerana membakar hutan tahun lalu hingga menyebakan 3 orang terkorban dan beribu-ribu hektar hutan liar musnah.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan menjalani hukuman tersebut pada Rabu, lapor CNN.

Sementara itu, 11 lagi individu yang turut terlibat menerima hukuman penjara seumur hidup, 4 orang diarahkan menjalani hukuman kerja buruh dan 5 orang pesalah bawah umur dikenakan hukuman penjara diantara 10 hingga 12 tahun.

Mereka yang memulakan kebakaran di kawasan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 280 kawasan bandar terjejas, 370 buah rumah musnah selain ladang-ladang ternakan dan pertanian turut hangus dijilat api.

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian Presiden, Bashar Al-Assad yang turun membuat tinjauan di kawasan-kawasan yang terjejas. Malah, bandar yang menjadi tempat kelahirannya, Qardaha antara yang paling teruk menerima kemusnahan.

Menurut rekod kes, kesemua tertuduh merancang memulakan kebakaran tersebut pada penghujung Ogos 2020 dan secara berterusan melaksanakan jenayah itu memasuki September hingga Oktober.

Dalam penguatkuasaan undang-undang di negara berkenaan, hukuman mati boleh dikenakan bagi kesalahan pengkhianatan, pengintipan, pembunuhan dan memulakan kebakaran.

Sumber: CNN

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.