Siakap Keli
Gambar hiasan | Kredit: EUROPA/Google

Lelaki ‘Serah Diri’ Kepada Polis Untuk Dipenjara, Lebih Rela ‘Dikurung’ Berbanding Bersama Isteri Di Rumah

Seorang lelaki di Itali terpaksa ‘menyerah diri’ ke balai polis dan meminta untuk dipenjarakan, gara-gara tidak tahan lagi untuk terus tinggal bersama isteri di rumah.

Menurut Wion, lelaki warga Albania berusia 30an itu pada asalnya sedang menjalani perintah tahanan di rumah selepas didapati bersalah kerana terlibat jenayah dadah beberapa bulan lalu.

Pegawai polis Carabinieri, Francesco Giacomo Ferrante bagaimanapun berkata, lelaki ‘malang’ itu merayu untuk dipenjarakan kerana mendakwa hidupnya tidak lagi aman sepanjang berada di rumah.

“Dia tinggal di rumah bersama isteri dan keluarga. Segalanya sangat tidak baik.

“Dia berkata (kepada kami), ‘Dengarlah, kehidupan saya dah jadi macam neraka. Saya tak boleh meneruskannya lagi. Saya nak duduk di penjara’,” katanya.

Difahamkan, seorang penduduk di Guidonia Montecelio mendakwa, punca hal tersebut berlaku adalah kerana lelaki itu tidak mampu meneruskan hubungan dan kehidupan secara tidak rela bersama isterinya.

Dalam masa sama, kata Ferrante, masalah hubungan itu menyebabkan lelaki berkenaan tekad keluar dari ‘neraka’ di rumah dan sanggup hidup dalam penjara.

“Kesal dengan situasi itu, dia lebih memilih untuk melarikan diri dan hadir ke Carabinieri secara spontan untuk meminta diteruskan hukumannya di sebalik tirai besi,” katanya.

Menurut laporan itu lagi, permintaan lelaki itu akhirnya diluluskan kerana dia didakwa telah melanggar peraturan tahanan rumah.

Justeru, pihak berkuasa termasuk badan kehakiman memerintahkan pihak polis untuk memindahkan lelaki malang tersebut, sekaligus berjaya membantu ‘mengubati’ masalah hidupnya.

Sumber: Wion

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'