Siakap Keli
Kredit: CNN

PM Sudan & Empat Menteri Ditahan

MOSCOW, 25 Okt (Bernama) — Pasukan tentera tidak dikenali mengepung kediaman Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok dan beliau kini dikenakan tahanan di rumah, lapor akhbar harian Arab News.

Empat menteri kabinet dan seorang wakil awam Majlis Berdaulat turut ditahan pada pagi Isnin, menurut akhbar itu memetik laporan TV Al-Hadath.

Gambar yang tular di media sosial menunjukkan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Sudan, Ibrahim al-Sheikh, menteri penerangan serta penasihat media Hamdok turut ditahan.

Media tempatan melaporkan penduduk memenuhi jalan-jalan di Khartoum sebagai membantah cubaan rampasan kuasa tentera itu.

Perkhidmatan internet dan telefon turut mengalami gangguan.

Pada Ahad, polis di Khartoum bertindak menggunakan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang menuntut peralihan kuasa daripada tentera kepada kerajaan awam, menurut Sputnik.

Penunjuk perasaan dilaporkan berkumpul berhampiran istana presiden, menghalang beberapa jalan di Khartoum.

Pada Khamis, ribuan penunjuk perasaan mengadakan protes di bandar Khartoum, Omdurman, Nyala, Ed Dueim dan di tempat lain, mereka melaungkan “Hand over power, Burhan” merujuk  kepada ketua Majlis Berdaulat, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan.

Tempoh majlis peralihan Sudan akan berakhir bulan depan dan selepas itu majlis tentera akan mengambil alih pentadbiran.

Sudan menghadapi rampasan kuasa tentera pada April 2019 menyaksikan Presiden Omar Hassan al-Bashir, yang memerintah selama 30 tahun, digulingkan dan dipenjarakan.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'