Siakap Keli
Gambar hiasan via Hello Doktor

Rimas Pakai ‘Braces’? Ini Jawapan Tepat Berapa Lama Anda Perlu Pakai Pendakap Gigi

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Mesti ada yang tertanya-tanya, kalau orang pakai pendakap gigi atau disebut ‘braces‘, berapa tahun baru boleh buka ya? Kena pakai selama-lamanya ke?

Bagi yang berhasrat mahu memakai pendakap gigi tapi tak tahu tentang tempoh penggunaannya, artikel ini sangat sesuai untuk anda baca sebagai persediaan.

Jom ikuti perkongsian daripada laman portal kesihatan Hello Doktor di bawah ini. Semoga bermanfaat.

Rimas Pakai ‘Braces’? Ini Jawapan Tepat Berapa Lama Anda Perlu Pakai Pendakap Gigi

Gambar hiasan via Hello Doktor

Anda teringin untuk memakai pendakap gigi? Tetapi anda rungsing tentang tempoh pemakaian braces? Jangan risau, ini penjelasannya yang perlu anda tahu. Semoga dapat membantu anda…

Apa itu pendakap gigi?

“Eh, Syafiq! Aku tengok dah lama sangat kau pakai braces. Bila gigi kau nak elok sebenarnya?”, soal Haziq yang merupakan rakan sepejabatnya.

Rasanya, bukan Haziq seorang sahaja yang curious dengan perkara ni. Anda juga mesti ingin tahu tempoh pemakaian braces atau pendakap gigi yang sebenar, bukan?

Sebelum itu, kita perlu tahu terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan pendakap gigi ini.

Ia adalah sejenis alatan yang digunakan pada gigi untuk membetulkan kedudukan gigi yang tidak teratur.

Gambar hiasan via Hello Doktor

Secara saintifiknya, pemakaian pendakap gigi dikenali sebagai ortodontik dan ia hanya boleh dilakukan oleh pakar pergigian yang diiktiraf.

Jadi jangan pula anda mendapatkan rawatan ini daripada individu yang tidak bertauliah atau kesan bahaya menanti anda!

Siapa yang perlu menggunakan braces?

Baiklah, kita sudah tahu apa itu pendakap gigi. Persoalannya, siapa yang perlu menggunakannya?

Dalam erti kata yang mudah, individu yang mempunyai masalah susunan gigi tidak teratur perlu menggunakan braces untuk membetulkan kedudukannya.

Namun, anda sendiri tidak boleh menilai sama ada gigi anda memerlukan rawatan ortodontik atau tidak. Keperluan untuk menlakukannya adalah bergantung kepada tahap keterukan gigi anda.

Jadi, sebaiknya sila dapatkan pemeriksaan dan rundingan daripada pakar.

Berikut merupakan gambaran tahap keterukan gigi berserta keperluan untuk menggunakan pendakap gigi:

Gred 1 hingga 4: Tidak perlu rawatan atau sedikit keperluan untuk rawatan

Gred 5 hingga 7: Sederhana

Gred 8 hingga 10: Perlu rawatan

Gambar via Hello Doktor

Berapa lama tempoh pemakaian braces?

Berbalik kepada persoalan utama artikel, berapa lamakah tempoh pemakaian braces yang sebenarnya?

Menurut Dr. Radolsky yang merupakan pakar pergigian dari Amerika, ia adalah bergantung kepada beberapa faktor:

  • Jenis rawatan

Maksudnya di sini adalah jenis braces yang pesakit gunakan.

Umumnya, terdapat pelbagai pilihan jenis pendakap gigi seperti metal braces, ceramic braces dan clear braces. Kesemuanya ini memerlukan tempoh masa yang berbeza untuk membetulkan kedudukan gigi pesakit.

  • Usia pesakit

Pesakit yang lebih muda (individu kanak-kanak dan remaja) cenderung untuk mendapatkan hasil dengan lebih cepat kerana rahang mereka masih dalam proses membesar, maka lebih mudah gigi untuk dibetulkan.

Secara tidak langsung menjadikan tempoh pemakaian braces kurang daripada 3 tahun.

Pesakit yang lebih berusia atau dewasa pula sudah tentu akan mendapatkan hasil yang sedikit lambat. Namun, terdapat juga faktor lain yang menentukan tempoh ini.

  • Tahap keterukan masalah gigi

Antara faktor yang memainkan peranan penting dalam penentuan tempoh masa pemakaian braces adalah tahap keterukan masalah gigi anda.

Jika pesakit mempunyai masalah gigi seperti spacing atau crowding yang agak teruk, maka akan lebih lama pesakit perlu menggunakan pendakap gigi.

Secara kasarnya, pendakap gigi mungkin akan dipakai selama tempoh 1 hingga 3 tahun, bergantung kepada individu.

Selepas ia dibuka pula, pesakit masih perlu memakai retainer semasa sedang tidur, untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 6 bulan.

Tiada had khusus

Gambar hiasan via Hello Doktor

Apa yang boleh disimpulkan di sini, tiada tempoh yang tepat untuk menentukan berapa lama seseorang itu perlu memakai pendakap gigi. Segalanya lebih bergantung kepada beberapa faktor yang melibatkan individu itu sendiri.

Namun, tempoh purata dan kebiasaan bagi seseorang individu memakai pendakap gigi adalah selama 1 hingga 3 tahun.

Sudah terjawab persoalan Haziq tadi bukan? Diharapkan Syafiq juga sentiasa bersabar dalam menjawab setiap persoalan yang diterima mengenai tempoh pemakaian braces pada giginya.

Buat anda yang ingin memakainya pula, bersedialah untuk menjawab soalan seperti ini ya? Dan pastikan anda melakukan pemeriksaan dan rawatan dengan doktor gigi yang diiktiraf, okay?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'