Siakap Keli
Gambar: Twitter via Daily Mail

(Video) Detik-detik Kereta Dalam ‘Racing Drag’ Hilang Kawalan, Dilapor Rempuh Penonton Hingga 2 Budak Maut

Dua kanak-kanak dilapor maut, selain beberapa penonton cedera gara-gara dirempuh kereta dalam satu perlumbaan ‘drag’ di Kerrville-Kerr County Airport, Texas baru-baru ini.

Menurut Jabatan Polis Kerrville, nahas ngeri itu berlaku selepas pemandu kereta berkenaan gagal menurunkan kelajuannya selepas berjaya tiba di garisan penamat.

Difahamkan, kereta tersebut berlumba dengan sebuah lagi kereta lain di trek sejauh dua kilometer yang turut dilengkapi penghadang keselamatan di sisi trek.

Bagaimanapun, kereta itu dilapor hilang kawalan sejurus tamat perlumbaan sebelum terbabas dan merempuh kawasan penonton di hujung trek.

Rekod polis melaporkan, kemalangan itu mengakibatkan seorang penonton kanak-kanak enam tahun maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi yang berusia lapan tahun meninggal dunia semasa di hospital.

Dalam masa sama, dua penonton wanita berusia 46 dan 27 tahun cedera parah dan kritikal, selain seorang penonton lelaki turut tercedera dan dikejarkan ke pusat rawatan.

Tidak kurang juga, seorang bayi perempuan berusia tiga bulan dan kanak-kanak lelaki empat tahun turut menjadi mangsa rempuhan, manakala yang lain dilapor cedera ringan dan stabil.

Sumber: Daily Mail

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'