Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Edar Lebih 300 Gram Methaphetamine, Dua Rakan Ke Tali Gantung

TAWAU, 26 Okt (Bernama) — Dua rakan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 327.1 gram dadah jenis methamphetamine, dua tahun lepas.

Hakim Dr Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu ke atas Ardiansyah Sudirman, 33, dan Muhammad Taufik Asis, 29, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakiman ringkasnya Hakim Lim berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai pengetahuan tentang dadah itu dan telah mengedarnya.

Mengikut pertuduhan Ardiansyah yang bekerja sebagai buruh pengangkat barang dan Muhammad Taufik, seorang pengusaha bot pengangkut barang didakwa secara bersama mengedar dadah itu di Jeti Pusat Kastam, Imigresen, Kuarantin (CIQ) Lama, di sini pada 1 tengah hari, 14 April 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan hukuman sebat sehingga 15 kali sebatan.

Tiga saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan iaitu kedua-dua tertuduh memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran manakala Ardiansyah diwakili peguam Jhassary Kang dan peguam  Andy Tay bertindak bagi pihak Muhammad Taufik.

Sumber: Bernama

Eyla Azri