Seperti yang diketahui, anak-anak perlu berbakti dan melayani ibu bapa dengan baik sehingga ke akhir hayat mereka. Walau dalam keadaan apa sekalipun, ibu bapa perlulah dihormati kerana jasa mereka kepada kita sememangnya tidak akan terbalas.
Bagaimanapun, bagaimana pula jika yang sebaliknya berlaku? Kita tidak boleh menafikan bahawa sememangnya ada sesetengah ibu bapa yang sering melukakan perasaan anak-anak dan tidak melayani mereka dengan sebaiknya.
Bahkan, ada juga ibu bapa yang mengata anak-anak sendiri tanpa disedari sehingga membuatkan anak-anak terasa hati.
Melihat keadaan itu, seorang pengguna Facebook, Ahmad Saifuddin Yusof ada berkongsikan mengenai pandangannya berkaitan sikap ibu bapa yang suka ‘memakan daging’ anak sendiri atau dalam erti kata lain, mengumpat.
Mari ikuti perkongsiannya di bawah ini.
‘Makan Daging’ Anak Sendiri
Ada satu perangai ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sudah dewasa ialah mengumpat anak-anak sendiri.
Mengumpat anak sendiri?
Ya, sama ada menceritakan perihal buruk anak kepada orang luar atau kepada anak-anak yang lain.
Paling buruk kesannya apabila mengumpat anak dengan anak yang lain.
Contohnya, katakanlah Angah berjaya dalam karier sehingga ada pendapatan yang baik. Manakala Along kurang berjaya sehingga terpaksa meminta bantuan kita sebagai ibu ayah dengan berhutang dsbnya.
Ada perangai ibu ayah sekarang yang suka bercerita perihal Along itu kepada adik-adik. Kesan buruknya, hilang rasa hormat adik-adik kepada Along. Ditokok tambah macam-macam. Sedangkan keadaan Along itu yang terdesak menyebabkan terpaksa berhutang dengan ibu ayah.
Mengapa berlaku begitu?
Perangai kita ibu bapa yang suka mengumpat membawang orang lain dengan kawan-kawan. Jadi perangai itu terbawa-bawa apabila bercerita hal ehwal anak sendiri. Dia tidak sedar yang diumpatnya itu anak sendiri dengan orang lain atau anak sendiri.
Solusinya, hentikan perangai suka mengumpat dan membawang orang lain macam Mami Jarum. Memang seronok rasa bila membuka aib. Seronok itu datang dari syaitan.
Apabila dua orang lelaki telah mengumpat satu kumpulan orang yang banyak makan sehingga mereka berdua ketawa.
Rasulullah Sollahu ‘Alayhi wa Sallam yang mendengar perbualan dua orang itu. Wajah Nabi berubah, lalu Nabi berkata, “Sesungguhnya saya ternampak daging saudara tuan-tuan itu melekat di celah gigi tuan berdua.” – Sahih al-Bukhari
Daripada ucapan itu ia membawa maksud;
+ Daging saudara seagama sendiri telah masuk ke dalam mulut.
+ Daging itu telah digigit, dimamah, dikunyah.
+ Daging itu telah ditelan sehingga tertinggal cebisan di celah gigi.
Kita berhenti mengumpat sekarang, supaya tidak terumpat anak sendiri.
Tetapi, ada pengecualiannya.
Ibu terpaksa berkongsi perihal anak-anak sesama anak yang lain untuk sama-sama membantu.
Contohnya kes Along berhutang dengan ibu itu dalam jumlah yang banyak. Maka ibu terpaksa minta pandangan adik-adik Along itu untuk sama-sama membantu dan tidak diperincikan jumlah hutang dsbnya. Cukuplah untuk menimbulkan kerisauan adik-adiknya.
Bagi seorang ibu yang baik, mereka sangat faham garis halus antara mengumpat anak atau mahu membantu anak. Sangat berbeza caranya.
Saifuddin Yusof
Anak belum dewasa lagi.
Sumber: Ahmad Saifuddin Yusof