Siakap Keli
Gambar: Utusan

Kanak-kanak 11 Tahun Maut, Terjatuh Dari Tingkat Tujuh Kuarters Penjawat Awam

Seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kuarters penjawat awam di Presint 5, Putrajaya, lapor Utusan.

Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz, mangsa ketika itu tinggal di rumah bersama kakak dan adiknya, masing-masing berusia 14 dan tujuh tahun, sementara ibu bapanya yang merupakan penjawat awam keluar bekerja.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.55 petang itu, bapa mangsa pulang ke rumah dan mendapati mangsa tiada di dalam bilik. Namun pada masa yang sama, tingkap bilik mangsa dalam keadaan terbuka.

Menyedari orang ramai berkumpul di bawah bangunan, ibu bapa mangsa kemudian bergegas ke bawah dan mendapati mangsa terbaring di atas lantai dalam keadaan kritikal.

A. Asmadi berkata, siasatan mendapati mangsa ketika itu sedang belajar seorang diri di bilik tidur dalam keadaan pintu berkunci dari dalam. Pun begitu, didapati bahawa jeriji tingkap tidak berkunci.

Jelas A. Asmadi memetik laporan Utusan, mangsa sempat diberikan rawatan kecemasan oleh pasukan perubatan di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut. Namun nyawa mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam semalam.

“Kami tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian manakala, pemeriksaan doktor mendapati, mangsa patah dua belah siku dan kaki kiri dan kecederaan lain akan diketahui selepas bedah siasat,” tambahnya.

Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Utusan

Eyla Azri