Siakap Keli
Gambar Via Newsbreak

“Kei Tak Boleh Ditukar Ganti”, Kahwin Dengan Orang Biasa, Puteri Jepun Rasmi Lepaskan Status Diraja

Setelah bertahun menyulam cinta, anak saudara Maharaja Jepun, Puteri Mako dilaporkan telah selamat melangsungkan perkahwinan dengan kekasih hatinya, Kei Komuro pada Selasa.

Perkahwinan itu sekaligus menandakan bahawa dia secara rasminya telah melepaskan status diraja kerana Kei merupakan rakyat biasa.

Di bawah undang-undang Jepun, ahli kerabat diraja perempuan yang berkahwin dengan rakyat biasa akan kehilangan status mereka.

Menurut BBC, Mako dan Kei telah melangsungkan perkahwinan secara sederhana dan menolak bayaran yang ditawarkan kepadanya. Sepatutnya  wanita diraja akan mendapatkan bayaran apabila mereka memutuskan untuk meninggalkan keluarga. Difahamkan, dia adalah wanita pertama dalam keluarga diraja yang menolak kedua-duanya.

Tidak lama lagi, mereka dilaporkan akan berpindah ke AS iaitu di mana Kei bekerja sebagai peguam.

Pun begitu, di sebalik kegembiraan yang dilalui oleh kedua pasangan itu, terdapat beberapa pihak yang memprotes perkahwinan mereka.

Dalam sidang akhbar pada Selasa, Mako dengan rendah hati memohon di atas sebarang masalah yang melibatkan orang ramai disebabkan oleh perkahwinannya itu.

“Saya sangat memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan saya berterima kasih kepada mereka yang terus menyokong saya.

“Bagi saya Kei tidak boleh ditukar ganti, perkahwinan ini adalah pilihan yang dilakukan oleh kami,” katanya.

Sumber: BBC

Sofea

There's always another side to every story