Siakap Keli
Gambar Hiasan via Bernama

Majlis Hari Jadi Cetus Kluster Baharu Di Sabah, 49 Individu Dikesan Positif COVID-19

Sebuah kluster komuniti COVID-19 dilaporkan di Sabah, dipercayai berpunca dari majlis sambutan hari jadi di Kampung Kimolohing, Ranau.

Menurut jurucakap berkait COVID-19 Kerajaan Sabah, Datuk Seri Masidi Majnun, majlis sambutan hari jadi salah seorang penduduk (kes indeks) itu diadakan di rumah ahli keluarga lain dan turut dihadiri ahli keluarga dan sahabat handai.

Tambah Masidi memetik laporan Astro Awani, saringan yang telah dijalankan mendapati 49 daripada individu yang menghadiri majlis tersebut positif COVID-19.

“Penarikan semula sekatan-sekatan tertentu kegiatan ekonomi dan sosial telah merancakkan aktiviti-aktiviti yang melibatkan perjumpaan dan perhimpunan sama ada di tempat kerja atau di tempat awam.

“Ini meningkatkan risiko jangkitan virus secara sporadik,” katanya.

Negeri Sabah merekodkan 565 kes positif COVID-19 hari ini di mana kes bergejala kekal tinggi iaitu sebanyak 37.70 peratus atau 213 kes daripada jumlah kes keseluruhan.

Sumber: Astro Awani

Eyla Azri