Siakap Keli
Gambar: Twitter Khairy / Bernama

Penguatkuasaan Lebih Ketat, KKM Akan Sentiasa Berada Di Lapangan ‘Pantau’ Perokok Di Tempat Awam

Larangan merokok di tempat awam khususnya di premis-premis makanan dikuatkuasakan dengan lebih ketat menerusi pemantauan di lapangan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi Twiter memaklumkan, pemantauan tersebut dilakukan oleh pegawai penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM).

“Susulan arahan untuk penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap larangan merokok di tempat awam, @KKMPutrajaya akan sentiasa berada di lapangan untuk melaksanakan operasi pematuhan,” katanya.

Dalam perkongsian itu, Khairy turut memuat naik beberapa keping foto memaparkan pegawai penguatkuasa KKM yang sedang menjalankan operasi pematuhan di premis makanan.

Terdahulu, KKM diarah untuk mempertingkatkan lagi penguatkuasaan terhadap larangan merokok di premis makanan seperti yang telah dikuatkuasakan dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Memetik laporan Bernama pada 21 Oktober baru-baru ini, Khairy berkata pemantauan tersebut dijalankan serentak dengan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Semalam (20 Oktober lalu) saya telah minta penguatkuasaan terhadap larangan merokok ini ditingkatkan lagi.

“Sambil memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pandemik, boleh denda perokok yang langgar larangan tersebut. Sekali harung,” katanya di Twitter ketika itu.

Sumber: Twitter Khairy Jamaluddin / Bernama

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'