Seorang ibu kepada dua orang anak yang berusia 32 tahun dikejarkan ke hospital sejurus jantungnya terhenti setelah melakukan rawatan sedut lemak (liposuction) dan pembedahan hidung (rhinoplasty) pada masa yang sama di salah sebuah klinik swasta di Turki, lapor The Mirror.
Ibu tersebut telah menghabiskan masa selama empat tahun berada dalam keadaan vegetatif. Keadaan vegetatif ini adalah situasi di mana dalam keadaan separa sedar tetapi otak pesakit tersebut tidak dapat berfungsi dan tidak boleh memberi tindak balas terhadap persekitaran.
Disebabkan ingin mempunyai badan yang ‘lebih sihat’, ibu kepada dua orang anak itu bertindak melakukan pembedahan hidung dan juga sedut lemak di salah sebuah klinik swasta. Pembedahan tersebut berlaku pada Julai 2017.
Semasa pembedahan dijalankan, ‘liposuction‘ dan ‘rhinoplasty‘ telah dilakukan secara serentak. Pada ketika itulah degupan jantung si ibu tersebut telah terhenti, lapor media tempatan Haberler.
Namun, menjadi keajaiban kerana doktor berjaya mengembalikan semula degupan jantung ibu tersebut kira-kira empat minit sebelum dia dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjutan, tambah Mirror.
Wanita tersebut tidak sedarkan diri semasa pembedahan dan kemudiannya disahkan berada dalam keadaan vegetatif.
Ibu tersebut masih berada dalam keadaan vegetatif sehingga ke hari ini dan suaminya menyalahkan klinik atas keadaan isterinya dan telah memfailkan aduan terhadap pakar bedah plastik dan pakar bius klinik swasta tersebut.
“Isteri saya sudah berada di hospital selama empat tahun secara keseluruhan termasuk dua tahun berada di unit rawatan rapi”, tegas suaminya.

“Anak lelaki saya berusia tiga bulan manakala anak perempuan saya pula berusia dua tahun semasa isteri saya disahkan berada dalam keadaan vegetatif”, jelas suaminya lagi.
“Jantung isteri saya terhenti selama empat minit semasa pembedahan. Pada mulanya doktor memberitahu bahawa isteri saya akan sembuh dan akan memindahkannya ke cawangan hospital lain yang berada di pusat bandar”.
Wanita itu baru sahaja berusia 32 tahun dan mempunyai dua orang anak. Kedua-dua anaknya masih menunggu kepulangan ibunya.
“Pihak hospital telah meminta bantuan polis kerana mahu mengeluarkan isteri saya daripada hospital, tetapi saya tidak bersetuju dan tidak mahu isteri saya dibenarkan keluar sehingga dia betul-betul pulih”, kata suaminya lagi.
Sumber: TheMirror