Siakap Keli
Gambar: Swissinfo

18 Jemaah Masjid Dibunuh Ketika Solat Subuh, Tujuh Lagi Diculik Kumpulan Bersenjata Di Nigeria

Seramai 18 orang jemaah dilaporkan terbunuh manakala beberapa yang lain tercedera selepas satu kumpulan bersenjata menyerang sebuah masjid di utara Nigeria pada Isnin lalu.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di kampung Mazakuka di wilayah Mashegu, Nigeria.

Menurut portal Suara.com, kumpulan bersenjata itu telah menyerbu kampung tersebut dan terus meluru ke masjid serta menyerang para jemaah ketika mereka sedang beribadah.

Adnan Tukur, salah seorang penduduk di daerah itu, menyatakan bahawa para penyerang telah melepaskan tembakan ke udara terlebih dahulu sebelum menembak ke arah para jemaah dari jarak dekat.

Sementara itu, beberapa jemaah lain yang sempat melarikan diri dilaporkan mengalami kecederaan susulan daripada insiden itu.

Difahamkan bahawa, kumpulan bersenjata itu telah datang ke kampung berkenaan dengan berkonvoi menaiki motosikal untuk melakukan serangan tersebut.

“Kami tidak sedar, masih bingung dan terkejut atas serangan itu,” kata Tukur.

“Sehingga kini, kami telah mengira bahawa terdapat 17 hingga 18 jasad para jemaah,” ujarnya.

Pesuruhjaya Polis Nigeria, Monday Kuryas yang mengesahkan kejadian itu menyatakan bahawa terdapat tujuh jemaah lain yang dilaporkan diculik daripada masjid tersebut.

Beliau menyeru masyarakat setempat untuk membantu pihak berkuasa dengan memberikan maklumat bagi menangkap para pelaku.

“Kami bersiap sedia untuk menghadapi segala bentuk unsur jenayah jika penduduk setempat dapat menyalurkan maklumat,” jelasnya.

Sumber: Suara.com

Aqmal Ezany

I write what is right