SERI KEMBANGAN, SELANGOR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini telah menyantuni lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa mereka dengan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Bapa kepada lima beradik malang itu, Hasil Tahal, 46 tahun, pemilik syarikat kontraktor pembinaan telah meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 Kategori 5 pada 11 Ogos 2021. Makin meruntun jiwa apabila ibu mereka Ida Haryanie Abdul Razak, 38, seorang suri rumah pula pergi buat selamanya selang dua (2) bulan kemudian pada 7 Oktober lalu akibat jangkitan virus yang sama. Mereka berdua telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan, hanya beberapa hari sebelum menyambut ketibaan Aidiladha pada Julai lalu.
Berdasarkan semakan caruman PERKESO terhadap pasangan suami isteri tersebut, hanya si isteri sahaja yang layak menerima faedah PERKESO menerusi Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Sehubungan itu, waris kepada Allahyarhamah Ida Haryanie iaitu lima (5) orang anaknya layak mendapat faedah PERKESO iaitu Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat. Mereka adalah Hadrami Hasil, 11, Humaira Hasil ,9, Harraz Hasil, 8, Hawwas Hasil, 6, dan Hannan Hasil, 3.
Waris telah menerima bayaran FPM sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar berserta Pencen Penakat sebanyak RM835.70 yang akan dibayar setiap bulan sehingga mereka mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama. Buat masa ini, kedua-dua bayaran faedah tersebut akan disalurkan kepada datuk waris, Abdul Razak Basiron yang kini memikul tanggungjawab sebagai ‘ketua keluarga’ dan penjaga lima beranak tersebut. Abdul Razak berkata mereka sekeluarga kini redha dengan pemergian anak dan menantunya akibat COVID-19. Selain itu, dia dan ahli keluarga terdekatnya juga bergilir-gilir mengambil alih tanggungjawab untuk menjaga lima beradik tersebut.
Prihatin dengan nasib yang menimpa mereka, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkesempatan untuk menziarahi keluarga berkenaan di kediaman mereka yang terletak di Kota Perdana, Seri Kembangan. Hadir sama ialah Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed; Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi, Encik Ismail Abi Hashim dan Pengurus Pejabat PERKESO Putrajaya, Puan R. Thavamani.
Pencen Penakat merupakan salah satu daripada faedah yang ditawarkan menerusi Skim Keilatan di bawah Akta 4. Pencen Penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans (OB) meninggal dunia atas sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan. Antara syarat kelayakan faedah ini ialah OB meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman atau OB meninggal dunia semasa sedang menerima Pencen Ilat tanpa mengambil kira had umurnya.
KSM dan PERKESO menzahirkan rasa simpati dan berharap bantuan faedah yang diterima oleh waris keluarga malang berkenaan dapat meringankan beban yang ditanggung mereka dalam meneruskan kehidupan seharian.