Siakap Keli

PTTI Lancar Kempen 2 Juta Bangkit Belajar, Seru Pelajar Ambil Kesempatan Belajar ‘Online’ Secara Percuma

PTTI akan meneruskan misinya dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas lima tahun mengukuhkan jenamanya sebagai pakar pusat peningkatan akademik.

Terbaru, jenama popular dalam dunia pembelajaran itu telah melancarkan satu kempen yang dikenali sebagai 2 Juta Bangkit Belajar pada 27 Oktober di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

Dengan bertemakan ‘Berjuta Kejayaan Bermula dengan Langkah Pertama’, usaha yang dilancarkan pusat ilmiah itu dilihat dapat memupuk semangat pelajar untuk terus belajar walaupun negara masih lagi dibelengu dengan wabak pandemik COVID-19.

Sering dikenali dengan kejayaan membantu calon SPM mendapatkan keputusan cemerlang selama ini, walau bagaimanapun inisiatif baru yang dianjurkan kali ini terbuka untuk semua pelajar tingkatan 1 hingga lima.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana berkata, sasaran 2 juta pelajar itu diberi  secara percuma untuk belajar dalam talian menerusi aplikasi pembelajaran, PTTI Better Result selama sebulan.

“Bermula hari ini (27 Oktober) hingga 27 November depan, kita buka kuota belajar percuma dalam talian untuk 2 juta pelajar ini. Kita sedar ramai golongan ini terkesan akibat pandemik dan terus bangkit membiasakan fasa peralihan endemik.

“Mereka dari tingkatan satu hingga lima, boleh memuat turun aplikasi PTTI Better Result dan selepas itu boleh belajar secara ‘live’ mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita bagi percuma sebulan ini sebagai rangsangan kepada usaha tak kenal jemu membantu pelajar. Lagipun pembelajaran dalam talian sudah menjadi ‘trend’ dan tuntutan semasa saat ni,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan mengapa buka peluang kepada pelajar lain dan bukannya hanya tertumpu kepada calon SPM sahaja pada kali ini, Cikgu Fana menyatakan bahawa beliau percayakan usaha belajar daripada awal pastinya dapat membuahkan hasil.

“Sebab kita nampak lagi awal pelajar itu mula  belajar, makin mudah dan cepat untuk mereka ini menjadi cemerlang. Dengan rekod kejayaan membantu pelajar SPM, kita percaya PTTI boleh bantu lebih ramai lagi pelajar untuk cemerlang dalam pembelajaran.

“Misi kita sendiri mahu menawarkan pembelajaran yang konsisten menerusi teknik mudah untuk meningkatkan kefahaman dan prestasi dalam pembelajaran pelajar

“Kita menyeru semua pelajar mengambil peluang untuk skor dalam pembelajaran kerana mereka ini mampu untuk mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Serentak dengan kempen itu, penyanyi muda popular Iman Troye turut diumumkan sebagai duta pusat ilmiah berkenaan.

Dalam majlis yang sama, penyanyi tersebut turut melakukan simbolik pelancaran single keduanya yang berjudul Nang.

“Kita kali pertama menggunakan khidmat dan pengaruh Mira Filzah sebagai duta. Seterusnya sejak awal tahun ini, anggota K-Clique, MK pula mengambil alih posisi itu.

“Sejak September lalu, Iman turut dipelawa sebagai duta selama setahun. Jadi sekarang kita ada dua duta, MK dan Iman,” katanya.

Cikgu Fana turut menambah bahawa Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin dilihat mempunyai kredibiliti dan tarikan untuk menarik lebih ramai pelajar untuk skor.

“Iman pun pelajar peringkat Diploma dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara(UiTM), Shah Alam. Saya dapat tahu, dia antara pelajar yang cemerlang dan mendapat sijil dekan.

“Dia memang boleh jadi inspirasi kepada pelajar lain. Malah Iman turut merakamkan lagu jingle 30 saat berjudul Pilih PTTI yang disadur daripada lagu popularnya, Teman,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah pelajar cemerlang SPM  2020.

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.