Siakap Keli

Eksport Mencecah Nilai Tertinggi Baharu, RM110.8 bilion, Berkembang 24.7 peratus pada September 2021

PUTRAJAYA, 28 Oktober 2021 – Prestasi dagangan Malaysia kekal stabil untuk mencatatkan pertumbuhan kukuh dua-digit pada bulan September 2021, meningkat 25.5 peratus kepada RM195.5 bilion. Eksport mencapai nilai tertinggi baharu, RM110.8 bilion, meningkat 24.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. Melengkap kepada prestasi yang kukuh, import juga mencatat kenaikan 26.5 peratus kepada RM84.7 bilion, tahun ke tahun sebagai mana dilaporkan dalam BULETIN PERANGKAAN PERDAGANGAN LUAR NEGERI MALAYSIA, SEPTEMBER 2021 hari ini. Laporan ini turut memaparkan prestasi import dan eksport mengikut produk dan rakan dagangan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata “Eksport mencatatkan nilai bulanan tertinggi RM110.8 bilion, meningkatan 24.7 peratus disokong oleh eksport domestik dan eksport semula. Ini adalah peningkatan tahun ke tahun ketiga belas bulan berturut-turut sejak September 2020. Eksport domestik berjumlah RM87.7 bilion dan menyumbang 79.1 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 22.4 peratus. Di samping itu, eksport semula dengan nilai RM23.2 bilion, naik 34.1 peratus tahun ke tahun. Import Malaysia pada September 2021 berjumlah RM84.7 bilion, terus mencatatkan pertumbuhan 26.5 peratus atau RM17.7 bilion berbanding bulan yang sama 2020. Lebihan dagangan berkembang 19.1 peratus kepada RM26.1 bilion. Seiring dengan pemulihan aktiviti ekonomi domestik kesan daripada pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), prestasi bulan ke bulan bagi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan juga menunjukkan pertumbuhan kukuh, masing-masing 16.0 peratus, 14.2 peratus, 15.2 peratus dan 22.2 peratus.

Selaras dengan pertumbuhan tahunan, 168 daripada 254 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Bagi import, 147 daripada 260 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.”

Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM4.0 bilion), diikuti China (+RM3.0 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.0 bilion), Indonesia (+RM1.7 bilion), India (+RM1.4 bilion), Hong Kong (+RM1.1 bilion), dan Jepun (+RM879.4 juta). Sementara itu, China terus menjadi penyumbang utama kenaikan import (+RM4.6 bilion), diikuti oleh Singapura (+RM2.1 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.9 bilion), Indonesia (+RM1.6 bilion), Taiwan (+RM1.5 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.0 bilion) dan Republik Korea (+RM930.7 juta).

Embargo: Hanya boleh diterbitkan atau disebarkan mulai jam 1200, Khamis, 28 Oktober 2021

Peningkatan eksport didorong oleh keluaran petroleum (+RM5.6 bilion); barangan perkilangan logam (+RM3.6 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasakan minyak kelapa sawit (+RM2.8 bilion); barangan elektrik & elektronik (+RM2.2 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.7 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.2 bilion); barangan besi & keluli (+RM1.1 bilion) dan gas asli cecair (+RM1.1 bilion). Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM6.4 bilion); keluaran petroleum (+RM4.0 bilion); kimia & bahan kimia (+RM2.1 bilion) dan petroleum mentah (+RM755.1 juta).

Bagi tempoh yang sama, pertumbuhan import bagi Penggunaan Akhir disokong oleh kenaikan permintaan bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan. Import barangan perantaraan (51.0% daripada jumlah import) berjumlah RM43.2 bilion, meningkat RM9.9 bilion atau 29.7 peratus. Barangan modal (10.8% daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 20.3 peratus daripada RM7.6 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM9.2 bilion. Import barangan penggunaan yang berjumlah RM6.9 bilion, meningkat 3.7 peratus berbanding September 2020, dan merangkumi 8.1 peratus daripada jumlah import.

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) masih dilaksanakan di seluruh Negara sehingga 31 Oktober 2021 secara bersemuka dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Aktiviti Semakan Kualiti (QC) dan Penyiasatan Liputan Banci (PES) akan dilaksanakan pada November dan Disember 2021. Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana “Data Anda Masa Depan Kita”. Sila layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut.

Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Hari Statistik Negara (MyStats Day) pada 20 Oktober setiap tahun. Pengisytiharan ini telah mengiktiraf sumbangan ahli statistik dan profesion statistik di negara ini. Hari Statistik Negara ini juga boleh diraikan oleh agensi pengeluar, pembekal dan pengguna statistik serta pelbagai lapisan komuniti yang terdiri daripada agensi kerajaan, penyelidik, universiti dan sekolah serta masyarakat umum. Tema sambutan Hari Statistik Negara tahun 2021 ialah “Connecting The World With Data We Can Trust”.

Siti Fatimah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.