PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan mana-mana Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi mana-mana produk kewangan berasaskan wang kripto seperti Bitcoin dan Forex, lapor Utusan Malaysia.
Jakim turut mengesahkan bahawa sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan adalah palsu.
Pengguna juga dinasihatkan agar berhati-hati dan tidak terperdaya dengan dengan tipu helah yang diberikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.
“Kami menerima banyak pertanyaan di media sosial tentang status SPHM terhadap produk kewangan, iaitu wang Kripto, Forex dan Bitcoin. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkaitan penyalahgunaan SPHM, pengguna boleh mengemukakan aduan yang lengkap kepada Jakim.”
“Untuk mengetahui tentang produk dan premis makanan yang memiliki SPHM, boleh layari Portal Rasmi Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dibuat melalui aplikasi telefon pintar SmartHalal http://www.smarthalal.com.my/faq.html”, katanya.
Beberapa pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini pernah mengeluarkan SPHM palsu, iaitu memalsukan kelulusan daripada Jakim serta Jabatan Agama Islam Perlis bagi mempromosikan produk kewangan mereka berasaskan wang Kripto, Bitcoin dan Forex.
Tindakan itu dilakukan bagi mempengaruhi orang ramai agar mendapatkan perkhidmatan dan melanggan produk mereka serta mendakwa ia patuh syariah.

Sumber: Utusan Malaysia