Biasanya kalau makan di kedai mamak, antara lauk yang cukup padu dan dicari ramai adalah menu yang berasaskan kari. Sebagai contoh, kari kepala ikan, kari daging, kari ayam, kari ikan dan sebagainya.
Kalau perasan, rasa kari yang dimasak menggunakan resipi chef Melayu dan mamak, kedua-duanya ada perbezaan. Kari mamak biasanya lebih pekat, lebih pedas dan likat berbanding kari Melayu yang agak berlemak.
Terfikir juga, macam mana mamak masak kari ikan guna resipi tradisi mereka ya? Inilah seperti yang dikongsikan oleh Siti Nor Azizah Rahim iaitu resipi dan cara memasak kari ikan kembung ‘mamak style’.
Nak tahu apa ‘rahsia’ yang chef mamak guna untuk masak kari? Jom ikuti resipi di bawah ini. Semoga bermanfaat!
Resipi masak kari ikan kembung cara mamak

Assalamualaikum. Zizah nak share resipi masak kari ikan kembung mamak style. InsyaAllah rasanya sangat sedap.
Ikut sukatan yang Zizah bagi ni pasti menjadi. Sukatan ni Zizah buat untuk ikan kembung 4 ekor. Kalau korang nak buat banyak, lebihkan sukatannya.
Bahan utama:-
- Ikan kembung 4 ekor
Bahan-bahan A:-
- Daun kari (banyak pun takpe sebab aroma dia yang sedap)
- Halba campur guna 1/2 paket sahaja (wajib ada kalau buat kari ikan)
- Rempah 3 sekawan
Bahan-bahan B:-
- Halia sikit je dah cukup
- Bawang kecil 5 biji (ni yang sedap sebab rasa manis)
- Bawang putih 4 ulas (kisar halus kalau boleh jangan banyak air)
- Tomato potong dadu 1 biji (wajib ada kalau masak kari ikan)
Bahan-bahan C:-
- Rempah Kari Ikan Cap O 1 paket (guna habis)
- Serbuk kunyit 1 sudu
- Serbuk cili 2 sudu
- Bancuh dengan air
Bahan-bahan D:-
- Air asam jawa (jangan banyak nanti masam pulak)
Bahan-bahan E:-
- Santan dalam 4 sudu je. Kalau tak mahu letak pun takpa.
Bahan-bahan F:-
- Nak letak bendi atau terung

Cara-cara membuatnya:-
1) Tumis bahan A sampai naik bau. Yang ni memang kena guna minyak banyak sikit ye. Kalau guna minyak sikit memang tak jadi kuah kari yang cantik warnanya. Yang ni banyak orang gagal buat..
2) Lepas naik bau baru masukkan bahan B, bila semua dah sebati masukkan bahan C tumis sampai pecah minyak. Tumis sekali tomato yang dah potong dadu tadi sampai semuanya sebati.
3) Masukkan pula air asam jawa (bahan D). Agak-agak nak kuah banyak mana. Jangan cari sangat nanti tak sedap. Agak-agak kepekatan macam mana kita nak. Zizah suka kuah pekat baru sedap, baru rasa macam kari mamak gitu. Tak moh ceroi kuahnya.
4) Masukkan ikan.
5) Lepas tu masukkan santan (bahan E) sikit. Biarkan sampai pecah minyak dan jadi kuah cantik macam ni. Letak garam. Pastu letak bendi atau tomato belah 4. Ikut cita rasa masing-masing.
Alhamdulillah dah siap.
Satu lagi nak bagitahu, kuah kari akan rasa masam bila kita rasa waktu tengah masak sebab air asam tu tak sebati lagi dengan kuah.
Lepas 1 jam kita makan semua rasa dah sebati time tu, baru rasa sempurna lauk kari. Selamat mencuba.
Demikianlah rahsia yang digunakan Azizah dalam memasak kari ikan kembung, iaitu makan selepas satu jam lauk tersebut siap dimasak.
Kalau anda nak cuba, apa salahnya kan? Semoga perkongsian Azizah ini bermanfaat.

Sumber: Siti Nor Azizah Rahim melalui Masak Apa Hari Ini