Siakap Keli
Gambar via Twitter & KKM

BN Akan Bayar Kompaun Yang Dikenakan KKM – Zambry

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) — Barisan  Nasional (BN) akan membayar kompaun RM10,000 yang dikenakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataan berkata BN adalah parti yang patuh kepada undang-undang dan menghormati arahan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk tidak mengadakan sebarang perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya.

“Bagaimanapun pada hemat BN arahan tersebut berkaitan dengan perhimpunan di negeri Melaka. Maka majlis pelancaran jentera BN yang sepatutnya diadakan di Melaka telah dipindahkan ke World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu (27 Oktober),” katanya.

Menurut Zambry, pemilihan lokasi WTCKL dibuat memandangkan Kuala Lumpur sudah pun memasuki Fasa Empat PPN yang membolehkan perhimpunan diadakan dengan kapasiti kehadiran 50 peratus daripada keluasan dewan acara.

“Untuk makluman kehadiran jemputan dalam majlis pelancaran di Dewan Tun Hussein dan Tun Ismail WTCKL semalam telah mengambil kira panduan SOP berkenaan dengan kapasiti,” katanya.

Beliau berkata namun pergerakan di luar dewan yang ramai adalah di luar bidang kawalan pihak penganjur.

Pejabat Kesihatan Kepong hari ini  mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada  BN kerana melanggar SOP Fasa Empat PPN.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi perkongsian dalam platform media sosialnya memaklumkan, kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dikeluarkan kepada BN susulan penganjuran majlis sosial di WTCKL  malam tadi.

Notis itu juga memaklumkan kompaun RM10,000 akan tamat tempoh pada 9 November ini.

Bermula 25 Oktober, KKM menguatkuasakan larangan tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka termasuk pelancaran jentera.

Larangan itu dikeluarkan kerana majlis perhimpunan berisiko menyebabkan peningkatan jangkitan COVID-19.

Sumber: Bernama

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.