KUALA LUMPUR – Bersempena sambutan Jubli Emas penubuhannya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini melancarkan Syiling Peringatan dan Album Koleksi Setem untuk memahat kenangan peristiwa bersejarah tersebut.
Terdapat dua edisi Syiling Peringatan yang akan dikeluarkan iaitu Coloured Silver dan Nordic Gold. Syiling Peringatan jenis Coloured Silver mempunyai nilai muka RM10 manakala syiling jenis Nordic Gold pula mempunyai nilai muka RM1.
Bahagian hadapan syiling peringatan ini diukir dengan imej payung terbuka dengan figura 50 orang pekerja sebagai simbolik 50 tahun agensi ini memayungi golongan pekerja. Bahagian belakang syiling ini pula memaparkan bangunan ibu pejabat PERKESO bersama logo PERKESO Prihatin dan Jubli Emas serta tema Jubli Emas PERKESO.
Kedua-dua syiling berkenaan akan dikeluarkan dalam kuantiti yang terhad dan hanya dijual secara dalam talian di laman sesawang https://sers.perkeso.gov.my/ mulai akhir November 2021.
Sementara itu, PERKESO turut menghasilkan Album Koleksi Setem Kenang-Kenangan sempena Jubli Emas PERKESO iaitu ‘Setemku 50 Tahun PERKESO’ yang mengandungi 10 keping setem dengan nilai 60 sen setiap satu. Kesemua imej yang ditampilkan dalam setem-setem tersebut menggambarkan keakraban hubungan antara majikan dan pekerja. Setem dalam koleksi ini turut memaparkan Jata Negara dan logo-logo PERKESO, PERKESO Prihatin dan Jubli Emas, serta tema Jubli Emas PERKESO.
Album Koleksi Setem Kenang-kenangan Jubli Emas PERKESO ini juga adalah terhad dan boleh dibeli secara dalam talian mulai 29 Oktober 2021.
PERKESO juga akan menerbitkan Lembaran Mini yang mengandungi setem mini yang direka khas berkonsepkan lima dekad PERKESO. Lembaran ini memaparkan figura tokoh yang berjasa dalam penubuhan PERKESO iaitu Bapa Pembangunan Malaysia yang juga Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan pencetus ilham PERKESO iaitu Tan Sri A.N. Ambo.
Tidak ketinggalan, Sampul Surat Peringatan PERKESO yang memaparkan imej robot khas, Cyberdyne yang digunakan dalam rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Melaka.
Sampul surat ini akan dilekatkan dengan setem bernilai muka 60 sen dan dicop dengan mohor Keluaran Khas ‘Setemku 50 Tahun PERKESO’ yang bertarikh 1 Oktober 2021.
Pelancaran syiling, setem, lembaran mini dan sampul surat peringatan PERKESO ini diadakan serentak dengan sambutan Hari Deepavali PERKESO yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan, hari ini.
Selari dengan semangat muhibah serta tanggungjawab PERKESO untuk melindungi pemegang taruhnya, seramai 100 orang ibu tunggal dan anak yatim dari sekitar Selangor dan Kuala Lumpur juga telah disantuni dengan bantuan duit raya dan hamper. Bantuan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PERKESO yang terus prihatin dengan mereka yang terkesan ekoran kehilangan dahan tempat bergantung.
Datuk Seri M. Saravanan berkata sepanjang 50 tahun penubuhannya, PERKESO telah berjaya merangka suatu jaringan keselamatan sosial untuk melindungi dan membantu pencarumnya jika mereka ditimpa sebarang malapetaka, bukan hanya ketika bekerja tetapi juga ketika dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja.
Beliau turut menyeru setiap pekerja, termasuk yang bekerja sendiri, agar segera mencarum dengan PERKESO untuk perlindungan sosial jika berlaku sebarang musibah yang tidak diingini.
Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed pula, yang berbangga dengan kejayaan yang telah dikecapi PERKESO sejak 50 tahun yang lalu, berkata PERKESO akan terus gigih melaksanakan mandatnya untuk berbakti kepada masyarakat bagi tempoh 50 tahun akan datang dan seterusnya.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan edisi terhad koleksi kenang-kenangan Jubli Emas PERKESO, sila hubungi Puan Juliana Binti Ahmad Junaedhye di talian 012 – 6071013 atau emel j[email protected] bagi mengetahui maklumat mengenai jualan dan cara penjualan.