Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini telah membentangkan beberapa inisiatif dalam Bajet 2022 berdasarkan tiga fokus induk iaitu rakyat yang sejahtera, perniagaan yang berdaya tahan dan ekonomi yang makmur dan mampan.
Antara yang menarik perhatian adalah mengenai bantuan kit asas kebersihan wanita seperti produk tuala wanita kepada 130,000 remaja B40.
Menurutnya, dianggarkan lebih 130,000 remaja wanita daripada keluarga B40 di Malaysia tidak mendapat akses kepada produk kebersihan seperti tuala wanita atas sebab kekangan kewangan.
“Aspek kebersihan dan kesihatan diri remaja wanita amat penting dalam mengurangkan sebarang risiko kesihatan dan keciciran di sekolah.
“Oleh itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia akan mengedarkan secara percuma kit asas kebersihan diri kepada 130,000 remaja wanita B40,” katanya.
Sumber: RTM