Seorang guru sekolah rendah dari Kerala meninggal dunia akibat disyaki serangan jantung, hanya seketika selepas melihat pelajarnya dalam kelas dalam talian buat kali terakhir, lapor India Times.
Madhavi yang merupakan seorang guru Matematik di Sekolah Rendah Kebajikan Kerajaan di Adottukaya di daerah Kasargod meninggal dunia pada Khamis, selepas menamatkan kelas secara tiba-tiba mengatakan bahawa dia tidak sihat.
Pada hari Khamis, Madhavi sedang mengajar pelajaran Matematik untuk pelajar Kelas III melalui telefonnya.
Semasa kelas, dia yang berusia 47 tahun itu meminta pelajarnya untuk menghidupkan kamera mereka supaya dia dapat melihat mereka semua.
Madhavi kemudian bercakap kepada pelajarnya, seorang demi seorang bahawa dia sedang menunggu untuk berjumpa mereka semua minggu depan apabila kelas luar talian disambung semula di negeri itu.
Semasa perbualan, Madhavi mula batuk dan sukar untuk bernafas. Jadi dia menamatkan kelas secara tiba-tiba dengan memberi pelajarnya kerja rumah.
Madhavi yang tinggal bersendirian di rumahnya selepas kematian suaminya kemudian menghubungi saudara mara bahawa dia tidak sihat.
Apabila saudaranya datang mencarinya, dia mendapati Madhavi tidak sedarkan diri dan membawanya ke hospital di mana dia disahkan meninggal dunia.
Insiden itu terbongkar selepas rakaman kelas terakhir Madhavi dikongsi dalam kalangan pelajar.
Ramai pelajar semasa mahupun bekas pelajar mengucapkan takziah atas kematian Madhavi dan mengingatinya sebagai seorang guru yang penyayang.
Sumber: India Times