Siakap Keli
Gambar : Hello Doctor

Ini Antara 4 Jenis Sakit Kepala Yang Paling Biasa Berlaku Dan Panduan Bila Perlu Jumpa Doktor Untuk Rawatan

Pernah tak anda mengalami sakit kepala, lebih-lebih lagi sakit pada bahagian belakang kepala? Mungkin anda tertanya-tanya apakah punca sakit itu di tahap yang serius ataupun tidak?

Sakit kepala merupakan satu keadaan yang boleh dialami oleh setiap individu, sama ada di seluruh bahagian kepala sahaja atau di bahagian tertentu sahaja.

Kebiasaannya, simptom-simptom yang dialami adalah berbeza-beza mengikut individu. Oleh itu, anda perlu memberitahu doktor mengenai tahap kesakitan anda sebelum dirawat.

Menurut perkongsian daripada laman Facebook Public Health Malaysia, terdapat 150 perbezaan jenis sakit kepala, punca dan rawatan. Ada 4 jenis ini merupakan antara penyakit yang kerap dialami.

Gambar : Public Health Malaysia

Sinus

Sinus merupakan sakit kepala yang dialami di sekitar mata, tulang pipi, dahi dan batang hidung. Melihat daripada infografik yang dikongsikan, keadaan ini akan bertambah teruk apabila anda berada dalam keadaan mengereng, bergerak secara mengejut dan pergerakan. Sinus ini berpunca apabila berlakkunya jangkitan dan perubahan pada tekanan udara dalam rongga sinus.

Tension

Tension lebih kerap dirasai pada bahagian hadapan kepala dan terasa seakan-akan kepala diikat dan dihimpit. Keadaan ini berpunca akibat daripada stress, kekurangan air dan ketegangan otot. Tetapi, jika melakukan aktiviti fizikal secara aktif, sakit yang dialami tidak akan bertambah teruk.

Migrain

Secara umumnya, individu yang didiagnos migrain akan merasai kesakitan pada bahagian belah kiri hingga ke bahagian belakang kepala. Rasanya seperti berdenyut-denyut di sebelah kepala dengan tekanan di belakang mata, loya dan penglihatan mata kabur. Kesakitan yang dialami akan bertambah teruk jika individu itu melakukan aktiviti fizikal. Individu yang mengalami migrain sangat sensitif pada cahaya terang dan bunyi yang bising.

Cluster

Sesuai dengan namanya, sakit kepala jenis cluster ini akan berlaku mengikut tempoh kluster, iaitu akan berlaku pada masa tertentu dan boleh dialami berlaku secara berkali-kali dalam sehari. Sakit ini dirasai pada sebelah muka, kepala dan mata. Jika individu dalam keadaan berbaring, sakitnya akan bertambah teruk dan berpunca dari hidung atau air mata tersumbat.

Bilakah masa yang diperlukan untuk mendapatkan rawatan bagi tangani masalah ini?

  • Sakit kepala secara mengejut dan sangat sakit
  • Kanak-kanak sering mengadu sakit pada bahagian kepala
  • Gangguan penglihatan, keliru, hilang keimbangan tubuh dan pertuturan
  • Rasa kebas dan lemah
  • Demam, sawan atau pengsan
  • Terasa tegang di tengkuk dan ruam.

Jika anda mengalami simptom-simptom seperti berikut, sila dapatkan rawatan dengan segera supaya keadaan tidak menjadi lebih serius.

Sumber : Public Health Malaysia

Fathin Nadzira