Baru-baru ini, sekumpulan saintis dari Pennsylvania, US menemui penemuan menakjubkan iaitu seekor burung eksotik unik yang bersifat gynandromorphic, bermaksud memiliki ciri-ciri dua jantina serentak pada badannya.
Menerusi laporan Popular Mechanics, saintis tersebut berkata, burung gosbeak ‘berdada-mawar’ (Pheucticus ludovicianus) yang ditemuinya itu mempunyai belahan rata di tengah-tengah badan serta dua warna bulu yang berbeza.
Jelas mereka, bulu berwarna merah di bahagian sayap kanan menunjukkan sifat jantan, manakala bulu berwarna kuning keemasan di bahagian sayap kiri pula menunjukkan sifat betina.
“Berasa sangat teruja untuk melihat sesuatu yang jarang berlaku secara dekat dan (kami) sedang menikmati pengalaman unik sekali dalam seumur hidup,” kata saintis dari pusat penyelidikan Rizab Semulajadi Powdermill, Muzium Sejarah Alam Semulajadi Carnegie itu.
Sementara itu, pengurus program pelabelan burung Powdermill, Annie Lindsay berkata, salah seorang penyelidik menganggap pengalaman mereka itu sangat menakjubkan, ibarat seperti melihat ‘Unicorn’.
Jelas Annie, hal tersebut kerana pusat penyelidikan itu sudah menjalankan kajian dan pelabelan ke atas kira-kira 13,000 ekor burung sejak 1962 lalu, selain beratus-ribu ekor burung lagi yang ditemui penyelidik di lapangan.
Walau bagaimanapun, boleh dikatakan spesies burung yang memiliki ciri-ciri gynandromorphic seperti grosbeak berdada-mawar yang ditemui mereka ini hanya kurang 10 ekor sahaja setakat ini.
Katanya, kali terakhir burung yang memiliki dua ciri-ciri jantina serentak yang berjaya ditemui mereka adalah pada sekitar 2005 dahulu, iaitu dipercayai daripada spesies burung yang sama.
Sementara itu, portal sains, Science Alert berpendapat, kewujudan burung tersebut adalah terhasil daripada genetik yang biasa, namun belum dapat dipastikan melalui ujian darah mahupun bedah siasat.
“Ginandromorphism dua hala, walaupun sangat luar biasa, (namun) ia adalah perkara biasa dan memberi contoh yang sangat baik tentang proses genetik yang menarik yang jarang ditemui orang,” kata Annie.
Sumber: Popular Mechanics