Bekas pengurus Juventus, Chelsea dan Inter Milan, Antonio Conte, 52, kini secara rasminya dilantik menjadi pengurus baharu di Tottenham Hotspur.
Laman rasmi Tottenham Hotspur memaklumkan, pelantikan Conte bagi mengemudi kelab itu adalah secara kontrak sehingga musim panas 2023 kelak dan ada pilihan untuk dilanjutkan.
Conte menerusi laporan ESPN berkata, dia sangat gembira kerana dapat kembali ke England dan mempunyai cita-cita lebih ‘tinggi’ bersama kelab tersebut.
“Saya sangat gembira untuk kembali melatih, dan melakukannya di kelab Liga Perdana yang mempunyai cita-cita untuk menjadi protagonis semula.
“Tottenham Hostpur mempunyai fasiliti (sukan) terkini dan memiliki salah sebuah stadium yang terbaik di dunia.
“Saya tak sabar nak mula berkhidmat untuk membuktikan semangat saya kepada pasukan dan peminat, (serta) mentaliti dan keazaman yang sentiasa membezakan saya sebagai pemain dan jurulatih,” katanya, memetik ESPN.
Untuk rekod, pengurus kelahiran Itali itu pernah membawa Chelsea menjuarai EPL pada musim 2016/2017, sebelum merangkul juara Piala FA pada musim seterusnya.
Selain itu, Conte turut pernah membawa gergasi Itali, Inter Milan menjuarai Serie A selepas 11 tahun kelab itu melalui tempoh ‘kemarau kejuaraan liga’.
Tidak hanya di pentas liga, Conte juga berpengalaman memimpin skuad negaranya, Azzurri sehingga layak ke peringkat suku akhir pada Euro 2016.
Sumber: Tottenham Hotspur / ESPN / BBC Sport