Seekor badak sumbu putih Selatan ditemui dalam keadaan seakan ‘menangis’ setelah sumbunya ditetak dan dilarikan oleh pemburu haram di Afrika Selatan, lapor Daily Mail.
Jurugambar Saving the Survivors, Simon Needham, 55, berkata, badak jantan seberat 4,500 paun itu ditinggalkan dengan luka terdedah yang mengerikan di kepalanya, selain tulang di tengkoraknya dikeluarkan selepas diserang.
“Pemburu haram telah menetak sumbu badak ini (untuk mengambilnya) dan turut menarik keluar sebahagian tulang di dalam tengkoraknya.
“Pihak polis menyedari kejadian ini dan menghubungi pihak Saving the Survivors untuk membantunya. Dia lemah tetapi mempunyai kemahuan yang kuat untuk terus hidup,” katanya.
Gambar-gambar yang dirakam Simon menunjukkan aksi badak itu yang kelihatan lemah, malah turut terdapat cecair dipercayai air mata yang keluar dari matanya.


Dalam masa sama, keadaan cedera parah di kepala badak itu amat jelas kelihatan dengan kesan darah kering masih berbekas di kepala setelah sumbunya ditetak dan ditarik keluar oleh pemburu.
“Saya meluangkan masa sehingga beberapa jam bersama badak ini untuk memastikan dia berasa selesa dengan keberadaan saya di sampingnya.
“Anda cuba bayangkan badak ini masih kuat untuk hidup ketika sedang melalui banyak masalah dan dia tidak boleh didekati tanpa penjagaan rapi,” katanya.
Bagi memastikan badak tersebut tenang dan tidak agresif, Simon menjaga jarak dengan haiwan itu kira-kira lapan meter.
Untuk rekod, jumlah populasi badak sumbu di Afrika Selatan adalah yang paling tinggi di dunia, iaitu kira-kira melebihi paras 2,000 ekor.
Bagaimanapun jumlah pemburuan haram terhadap spesies ini dikatakan terlalu kritikal di mana 1,000 ekor badak sumbu dibunuh dalam setahun sejak 2013 hingga 2017.
Sumber: Daily Mail