Yahoo dilaporkan telah menamatkan semua perkhidmatan dalam taliannya di China pada Isnin lalu. Penamatan tersebut menandakannya sebagai firma internet Amerika Syarikat terakhir yang berundur dari negara itu, beberapa minggu selepas LinkedIn Microsoft Corp mengumumkan untuk ‘keluar’ daripada ekonomi kedua terbesar di dunia itu kerana keperluan pematuhan yang lebih besar.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beberapa hari lalu, syarikat yang berpangkalan di Sunnyvale, California itu mengatakan bahawa ‘suite’ perkhidmatannya sudah tidak lagi boleh diakses di negara tersebut.
“Produk dan perkhidmatan Yahoo kekal tidak terjejas di semua lokasi global yang lain,” kata Yahoo dalam kenyataan itu.
Bagaimanapun, sebab di sebalik pengunduran itu tidak dinyatakan, lapor South China Morning Post.
Difahamkan, aplikasi Cuaca Yahoo dan halaman berita bagi versi bahasa Cina dalam Engadget sudah tidak lagi tersedia setakat Isnin. Namun, pengguna di negara itu masih boleh mengakses Yahoo Mail, AOL Mail dan papan pemuka privasi untuk memuat turun data mereka daripada tiga alamat web yang diberikan.
JUST IN: Yahoo to end its services in China
— The Spectator Index (@spectatorindex) November 2, 2021
Media melaporkan bahawa penamatan perkhidmatan Yahoo itu bertepatan dengan pelancaran Undang-undang Perlindungan Maklumat Peribadi (PIPL) iaitu sistem keselamatan data peribadi yang paling sukar di dunia.
Sementara itu, populariti Yahoo dalam carian online merosot pada tahun 2000-an apabila Google meningkatkan bahagian pasaran globalnya dan Baidu menjadi penyedia enjin carian yang dominan di China.
Sumber: South China Morning Post