Siakap Keli
Gambar : Hellodoktor

Bila Nak Mula Guna Ubat Gigi Berfluorida Kepada Anak-anak? Doktor Gigi Ini Beri Penjelasan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Selain daripada kebersihan diri, gigi juga sangat penting untuk dibersihkan bagi mengelakkan pembentukan plak yang akan menyebabkan bau mulut atau kerosakan gigi.

Kebiasaannya doktor akan mengesyorkan untuk memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari sama ada orang dewasa mahupun kanak-kanak. Tetapi, ramai juga ibu bapa musykil dan bertanya, “bila nak mula guna ubat gigi berfluorida kepada anak-anak?”

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsian daripada laman Facebook Dr. Mohd Khairul Izwan.

Gambar : Hellodoktor

Saya sering mendapat pertanyaan daripada ibu bapa berkenaan “bila nak mula guna ubat gigi berfluorida kepada anak-anak?”

Baik begini.

Menurut pendapat pakar-pakar pergigian, kanak-kanak boleh mula diperkenalkan dengan ubat gigi berfluorida seawal yang mungkin.

Anggaran umur anak sekitar 1.5-3 tahun dah boleh mula perkenalkan dengan ubat gigi yang mengandungi fluorida. Lebih awal, adalah lebih baik kerana fluorida dapat membantu mengurangkan risiko terjadinya kerosakan gigi.

Bagi anak yang berumur kurang dari 1 tahun, jika anak anda masih belum pandai meludah dan berkumur dengan betul, anda tetap perlu memberus gigi mereka jika gigi pertama mereka sudah tumbuh walaupun tanpa menggunakan ubat gigi.

Bagi yang belum tumbuh gigi pula, anda wajib membersihkan mulut, gusi dan lidah mereka dengan kain lembap yang bersih setiap hari.

Menurut American Academy of Paediatric Dentsitry (AAPD), saranan terbaru bagi penggunaan ubat gigi untuk kanak-kanak seharusnya mengandungi kepekatan 1000 ppm fluorida (ukuran kepekatan fluorida di dalam ubat gigi) berbanding 600 ppm sebelum ini untuk kanak-kanak.

Secara umum, kandungan fluorida dalam ubat gigi dewasa adalah 1000 ppm dan ke atas, manakala bagi ubat gigi khusus untuk kanak-kanak, kepekatan fluorida biasanya sekitar 600 ppm.

Walaupun disarankan oleh AAPD untuk kanak-kanak memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida yang mengandungi kepekatan 1000 ppm, namun sebagai permulaan anda boleh mengajar anak anda yang baru berusia 2-3 tahun memberus gigi boleh menggunakan ubat gigi khusus untuk kanak-kanak yang mengandungi 600 ppm fluorida terlebih dahulu.

Jika mereka sudah pandai meludah dan sudah pandai memberus gigi dengan betul, maka anda bolehlah gantikan ubat gigi yang khusus untuk kanak-kanak kepada ubat gigi dewasa yang mengandungi 1000 ppm fluorida.

Begitu juga dengan memberus gigi anak. Jika nak gunakan ubat gigi dewasa, ajar anak memberus gigi guna ubat gigi kanak-kanak dahulu sehingga mereka pandai dan tahu meludah. Dah pandai, bolehlah gunakan ubat gigi dewasa pula untuk mereka.

Bagi anak yang belum pandai meludah dengan betul, sebagai alternatif, anda juga boleh lap bahagian dalam mulut anak dengan kain bersih selepas memberus gigi supaya lebihan ubat gigi tersebut meresap ke dalam kain.

Apa yang paling penting adalah, kuantiti ubat gigi yang digunakan juga haruslah sedikit sahaja untuk mengurangkan kemungkinan anak-anak menelan ubat gigi tersebut.

  • Untuk anak-anak di bawah usia 3 tahun, kuantiti hanya sebesar beras atau secalit tipis sahaja.
  • Untuk anak-anak yang di atas 3 tahun, kuantiti adalah sebesar kacang pea.
Gambar : Google via Mohd Khairul Izwan

Paling penting, anda haruslah memantau dan membantu anak-anak anda memberus gigi mereka. Jangan biarkan mereka memberus gigi sendiri.

Walaupun fluorida baik dan penting dalam membantu mencegah kerosakan gigi, namun sekiranya anak anda tertelan ubat gigi dalam kuantiti yang berlebihan secara berterusan, ini boleh menyebabkan terjadinya kecacatan struktur gigi kekal yang dinamakan sebagai “Fluorosis”.

Sumber : Mohd Khairul Izwan

Fathin Nadzira

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.