Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara, perkenan itu telah diberikan selepas menimbang permohonan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri serta sembah taklimat Peguam Negara dan pandangan ketua-ketua agensi kerajaan.
Penamatan Proklamasi Darurat itu juga selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.
“Perlu dijelaskan di sini bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda juga turut menzahirkan kegusaran Baginda terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan COVID-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.
“Pada hemat Seri Paduka Baginda, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman COVID-19 dan penularan wabak ini juga masih ditahap yang membimbangkan.
“Perkenan Seri Paduka Baginda kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit. Namun ianya diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” ujar Istana Negara.
Tambah kenyataan itu lagi, seri Paduka Baginda menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik.
Tamat darurat di Sarawak: Agong beri perkenan setelah timbang permohonon Yang Dipertua Negeri, perhalusi sembah nasihat Perdana Menteri – Istana Negara pic.twitter.com/XdtrdKQsug
— BERNAMA (@bernamadotcom) November 3, 2021
Sumber: Istana Negara