Fenomena hujan yang hanya membasahi satu kawasan kecil saja sememangnya sering berlaku. Namun, hujan yang melanda di Indonesia ini membuatkan orang ramai bingung kerana ia hanya membasahi sebuah kereta di parkir. Video mengenai kejadian itu telah tular di negara tersebut sejak minggu lalu.
Mendedahkan mengenai punca kejadian itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisia (BMKG) telah menjelaskannya berdasarkan pemantauan keadaan cuaca. Menurut BMKG, ketika ianya berlaku, awan yang membentuk hujan sememangnya hanya tertumpu di Cikarang sahaja.
“Berdasarkan hasil pemantauan dari citra radar BMKG pada 31 Oktober lalu, memang menunjukkan bahawa terdapat awan hujan di wilayah Cikarang dan sekitarnya,” ujar pegawai BMKG.
View this post on Instagram
Tambahnya lagi, hujan yang turun itu juga berlaku dalam tempoh yang singkat. Ia fenomena yang biasa terjadi.
Bagaimanapun, BMKG juga mengatakan bahawa perlunya ada kajian khusus mengenai peristiwa tersebut.
“Hal tersebut biasa terjadi, tetapi perlu dikaji lagi apakah ia benar-benar disebabkan oleh hujan atau hal lain,” katanya.
Menurut Detik News, kejadian aneh itu telah berlaku di tempat parkir sebuah hotel di Cikarang pada minggu lalu.
Ketua Fraksi PKS DPRD Kabupaten Bekasi, Uryan Riana, yang merakam kejadian itu mengatakan bahawa dia terkejut saat melihatnya ketika keluar dari sebuah acara.
“Acara belum selesai, saya turun menuju parkir untuk pergi ke kereta. Tetapi ketika itu ada fenomena aneh luar biasa berlaku iaitu sebuah kereta berwarna hitam dibasahi air hujan,” kata Uryan kepada Detik News.
Menerusi video yang dirakamnya, kelihatan beberapa buah kenderaan lain yang turut berada di situ tetapi hanya kereta hitam itu sahaja yang terkena air hujan.
Sumber: Detik News