Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Wanita Dilapor Maut Akibat Tergelincir & Jatuh Ke Sungai Dari Ketinggian 100 Kaki Semasa Bergambar Di Tebing

Seorang wanita dilapor maut akibat tergelincir di tebing pada ketinggian 100 kaki selepas bergambar di depan suaminya dalam satu kejadian di Luxemborg baru-baru ini.

Menurut laporan Daily Mail, wanita tersebut, Zoe Snoeks, 33, bersama suaminya, Joeri Janssen melancong ke wilayah itu dan turut berkunjung ke Desa Nadrin pada Selasa pagi.

Ketika itu mereka berdua bersama anjing peliharaannya dikatakan singgah ke tebing Sungai Ourthe dalam kampung tersebut untuk menikmati pemandangan dan bergambar sebagai kenangan.

Bagaimanapun menurut Joeri, ketika Zoe sedang seronok menggayakan postur badan di depan kamera, isterinya itu tergelincir semasa dia berpaling ke arah anjingnya di belakang dalam tempoh cukup singkat.

“Saya pusing ke arah anjing dan memberitahunya untuk tunggu sekejap. Bila saya pusing balik ke arah Zoe, dia dah tiada di situ. Dia dah hilang. Ia berlaku sepantas kurang lima saat.

“Saya tak dengar atau lihat langsung apa-apa. Tiada bunyi berdesir, tiada teriakan dan tiada menjerit. Saya lihat ke atas dan hanya debu yang ada.

“Saya menjerit panggil dia walaupun saya tahu dah takda harapan. Jurang tempat dia berdiri tu dalamnya berpuluh meter,” katanya.

Sejurus kemudian Joeri terus menghubungi pihak penyelamat, namun agak sukar kerana gangguan rangkaian. Malah mereka juga sukar untuk memahami laporannya gara-gara faktor bahasa.

Bertindak atas maklumat, pihak polis, pasukan bomba serta penyelam skuba dari Bra-sur-Lianne dikerahkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan jentera helikopter perubatan bagi mencari wanita tersebut.

“Pasukan penyelamat akhirnya berjaya menemui mayat Zoe yang jatuh pada ketinggian kira-kira 30 meter. Saya lihat kawasan tu dengan mata saya sendiri, rasa-rasanya ia lebih kurang dalam 50 meter,” tambahnya.

Bagaimanapun menurut Daily Mail lagi, siasatan ke atas kematian Zoe oleh pihak berkuasa tidak dapat dipastikan sama ada diteruskan atau tidak.

Sumber: Daily Mail

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.