Dek kerana percayakan jiran, seorang warga emas sanggup menyerahkan kad ATM miliknya kepada jiran dan telah menyebabkan kehilangan wang simpanan sebanyak RM26,060. Duit itu dipercayai dikeluarkan tanpa kebenaran warga emas tersebut.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 80 tahun bekerja sebagai peneroka mendakwa telah menyerahkan kad ATM beliau kepada suspek sejak Februari yang lalu.
“Lelaki itu mendakwa tujuannya menyerahkan kad itu supaya suspek dapat membantu menyemak baki akaun, memandangkan dia sukar keluar ke bandar kerana tiada ahli keluarga yang tinggal berhampiran.
“Mangsa mahu menyemak baki akaunnya selepas anak saudara lelakinya memaklumkan wang pampasan daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah dimasukkan ke akaun,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Suspek yang juga seorang wanita memberi pelbagai alasan untuk tidak memulangkan kad ATM suspek setiap kali diminta mangsa dan bertanyakan tentang wang pampasan tersebut.
Mangsa mendakwa mengetahui baki akaun banknya berkurangan apabila anak saudaranya pulang ke kampung hujung Julai lepas, dan semakan di bank mendapati terdapat 23 transaksi pengeluaran wang dibuat menggunakan kad ATM itu.
“Anak saudara mangsa cuba berbincang dengan suspek untuk memulangkan semula wang itu, namun suspek dikatakan berkeras menyatakan semua wang yang dikeluarkannya telah diserahkan kepada mangsa,” katanya.
Menurut Mohd Wazir, mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading di sini pada Jumaat, selepas mendakwa suspek enggan memulangkan wang itu walaupun telah memberikan tempoh secukupnya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama