Seorang gadis berusia 16 tahun yang diculik dilaporkan berjaya diselamatkan selepas dia menggunakan isyarat tangan kecemasan yang dipelajarinya menerusi aplikasi TikTok untuk memaklumkan kepada pemandu lain mengenai keadaannya.
Memetik laporan Daily Mail, gadis itu dipercayai telah diculik oleh lelaki pedofil yang berusia 61 tahun pada 4 November lalu di Asheville, North Carolina.
Pegawai Syerif Daerah Laurel di Kentucky telah menahan suspek selepas menerima panggilan mengenai gadis itu yang membuat isyarat tangan yang dikenali di TikTok sebagai mewakili perbuatan keganasan rumah tangga.

Difahamkan, panggilan itu dibuat oleh seorang pemandu yang berada di belakang kereta suspek di lebuh raya North Carolina di Interstate 75.
Setelah disiasat, mangsa merupakan remaja yang dilaporkan hilang oleh ibu bapanya pada pagi Selasa.
Pegawai polis dengan pantas menangkap suspek dan turut menemui telefon miliknya yang mengandungi gambar seorang remaja perempuan secara seksual. Tidak dapat dipastikan sama ada gadis itu sama dengan remaja yang ditemui di dalam keretanya.
Suspek telah didakwa atas tuduhan menculik dan memiliki pornografi kanak-kanak. Dia kini dipenjarakan di Laurel County Correctional Center.
Sementara itu, isyarat tangan yang telah ditularkan di TikTok memaparkan seseorang mengangkat tapak tangan dan menyelitkan ibu jari. Kemudian empat lagi jari akan diturunkan supaya ibu jari ‘terperangkap’ di dalamnya. Ia juga dilihat seperti seakan penumbuk.

Ia adalah isyarat yang menandakan bahawa ‘saya perlukan bantuan’ sekiranya mengalami penderaan domestik.
Sumber: Daily Mail