Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Kampung Bakau Lama, Lahad Datu ditemui terapung dalam keadaan tidak bernyawa oleh penduduk kampung kira-kira jam 6.41 pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, turut ditemui kesan gigitan buaya pada kaki kiri kanak-kanak berusia 10 tahun itu. Namun mayat mangsa dikatakan berada dalam keadaan utuh.
“Mangsa ditemui penduduk kampung dalam keadaan terapung di sungai pada jarak 700 meter dari lokasi mangsa diserang buaya.
“Ketika ditemui, terdapat kesan gigitan pada kaki kiri mangsa dipercayai akibat digigit buaya namun mayat mangsa masih dalam keadaan sempurna,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut Sumsoa, mangsa dipercayai diserang buaya ketika sedang mencari udang untuk umpan memancing bersama dua rakannya Sabtu lalu. Mayat mangsa kini telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian