KUCHING, 8 Nov (Bernama) — Kes harian COVID-19 di Sarawak semakin berkurang hari ini dengan 385 kes baharu direkodkan berbanding 460 kes yang direkodkan semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, hanya 13 kes daripada jumlah yang direkodkan itu mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan, manakala 372 kes lagi adalah mereka yang tidak bergejala dan bergejala ringan.
Sebanyak 12 kes kematian terbaru dicatatkan dalam tempoh 3 Nov hingga 6 Nov melibatkan mereka yang berumur antara 45 hingga 86 tahun.
Menurut JPBN, satu kluster tamat iaitu Kluster Bungey 2 di Betong setelah 28 hari tiada kes baharu direkodkan melibatkan kluster itu.
Sumber: BERNAMA