Seorang suri rumah di Singapura terpaksa membuat laporan polis tentang jirannya di tingkat atas yang didakwa selalu membuat bunyi ‘pelik’ hingga mengganggu tidur suaminya, lapor Mothership.
Tan, 52, yang tinggal di perumahan pangsapuri berkata, gangguan tersebut sudah dialami sejak 20 tahun lalu dan dia telah membuat laporan polis hampir 100 kali setakat ini namun tiada ‘hasil’.
Kata Tan, jirannya itu selalu membuka paip dan membiarkan air melimpah pada awal pagi selama beberapa jam dan bunyi deras air itu agak kuat hingga kedengaran dari rumahnya.
Selain itu, Tan juga mendakwa jirannya suka mengheret kerusi dan menghempas pintu pada waktu malam, malah dia juga sering terdengar bunyi bola disepak dan tali ‘skipping’ dihayunkan.
“Kadang-kadang jiran lain takda pula buat bising selama beberapa bulan, dan saya juga ambil keputusan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Shin Min Daily News menerusi Mothership.
Tan pernah berpesan kepada jirannya itu supaya tidak mandi pada awal pagi kerana bising dengan bunyi air, namun tiada maklum balas diberikan.
“Selepas mengadu kepada pihak berkuasa, saya pun ikutlah arahan diberikan dan tukar bilik tidur serta tutup pintu tandas, tapi masalah itu tetap berlaku,” tambahnya.
Bagaimanapun jiran-jiran lain yang ditemui pemberita mendakwa, mereka tidak pula terganggu dengan gangguan bunyi tersebut, malah turut jarang mendengarnya.
Sumber: Mothership