Seorang ibu berusia 28 tahun di Solingen, Jerman dipenjara seumur hidup selepas didakwa membunuh lima anak kandungnya sendiri pada 3 September lepas, lapor Mirror.
Menurut laporan itu, wanita tersebut bertindak kejam sedemikian gara-gara didakwa ternampak gambar suaminya yang bergambar bersama pasangan baharu.
Wanita itu juga dikatakan menghantar mesej kepada suaminya dan mengatakan bahawa dia tidak akan berjumpa dengan anak-anak mereka lagi, sebelum episod pembunuhan kejam bermula.
Berdasarkan fakta kes Mahkamah Daerah Wuppertal, wanita itu dikatakan memberi dadah kepada kelima-lima anak kecilnya termasuk yang berumur enam dan lapan tahun.
Sejurus kemudian, kesemua kanak-kanak malang itu ditenggelamkan di dalam tab mandi sehingga lemas dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tidak cukup dengan itu, mayat mereka dibawa keluar dan dibalut dengan tuala sebelum diletakkan di katil mereka masing-masing.
Menurut Mirror, setelah ‘misi’ bunuh anak selesai, wanita itu akhirnya menuju ke Stesen Kereta Api Düsseldorf Central dan bertindak lompat ke landasan untuk membunuh diri namun gagal kerana sempat diselamatkan.
Sementara itu, pakar psikologi dan psikiatri menjelaskan kepada mahkamah bahawa tiada bukti ditemui menunjukkan wanita itu mengalami masalah mental ketika itu.
Dalam masa sama, wanita itu juga mendakwa ada seseorang menceroboh ke rumahnya ketika itu lalu mengikat tangannya dan memaksanya untuk menghantar mesej sedemikian kepada suami sebelum bertindak membunuh.
Tidak kurang juga, mahkamah juga menerima kenyataan daripada lebih 40 orang saksi kes sepanjang 20 hari perbicaraan berlangsung.
Akhirnya wanita itu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Bagaimanapun di sebalik kematian tragis lima anak kecil itu, hanya anak sulung berusia 11 tahun yang masih hidup dan terselamat kerana tiada di rumah ketika pembunuhan itu berlaku, kini ia berada di bawah jagaan neneknya.
Sumber: Mirror