JAKARTA, 9 Nov– Satu kebakaran yang menyayat hati terjadi di sebuah rumah tumpangan di Jalan Raya Bintara, Bintara Jaya, Kota Bekasi, Jawa Barat pada Selasa lalu. Kebakaran tersebut dipercayai berlaku kerana telefon milik seorang penghuni di situ meletup.
Menurut Liputan6, kejadian berlaku ketika penghuni rumah tersebut berada di luar. Beliau dikatakan meninggalkan telefonnya yang sedang dicaj di atas katil. Telefon tersebut kemudiannya dilaporkan meletup dan menyebabkan tilam terbakar.
Ekoran kejadian itu, api merebak dengan cepat kerana material rumah tumpangan tersebut dipercayai mudah terbakar.
“Ada telefon yang ditinggalkan sedang dicaj. Tambahan lagi, telefon tersebut ialah model lama dan tidak menggunakan teknologi sekarang. Bateri telefon tersebut juga sudah kembung kerana sudah lama,” kata Ferdi, pemilik rumah.
Sehubungan dari itu, penghuni lain yang menyedari insiden tersebut dengan segera menghubungi pihak Bomba Dan Penyelamat untuk memadamkan api.
Pegawai bomba yang datang ke lokasi kejadian bertungkus lumus memadamkan api tersebut. Sekitar satu jam kemudian api telah berjaya dipadamkan.
Sumber: Liputan 6