Siakap Keli
Gambar: Aida Haniza Adnan

Lapan Keluarga Berpakat, Ubah Lorong Belakang Terbiar Jadi Taman Indah Yang Cantik, Boleh Jadi Tempat Lepak & Riadah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tidak kira di kampung mahupun di bandar, kebanyakan daripada kita tinggal di dalam komuniti masyarakat yang bergantung di antara satu sama lain. Disebabkan itu, wujudnya semangat kejiranan yang membuatkan suasana menjadi lebih harmoni dan aman. Bak kata pepatah, jiran sepakat membawa berkat.

Kadangkala ramai yang tidak sedar bahawa kerjasama di antara jiran tetangga boleh membawa impak yang besar kepada komuniti setempat.

Seperti yang dikongsikan oleh pengguna Facebook, Aida Haniza Adnan berkaitan kebun yang telah dibina olehnya dan jiran-jirannya. Menerusi kirimannya di group Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri, Aida berkongsi gambar-gambar kebun tersebut yang sangat indah dan mempesonakan.

Ikuti ceritanya di bawah ini.

Garden 8 Kebun Kejiranan di Taman Perwira, Gombak Setia. Usaha padu 8 keluarga merealisasi lorong belakang yang satu ketika dahulu terbiar dan tidak diberi perhatian kepada sebuah kebun taman yang bukan sahaja indah dan cantik tetapi memberi hasil pada penghuni-penghuninya.

Kami juga mempraktikkan gaya hidup hijau dengan sistem pengumpulan air hujan (SPAH), mengitar semula sisa makanan dan kebun untuk dijadikan kompos dan baja dan mengitar semula 3R (plastik, tin dan kertas). Lampu-lampu di Garden 8 juga menggunakan tenaga solar yang menyerikan kebun taman diwaktu malam.

Garden 8 adalah tempat kami mengukuhkan ukhwah sesama jiran tetangga, menjadi tempat mengeluarkan peluh dengan aktiviti berkebun, untuk anak-anak dan cucu-cucu kami belajar mengenai sayur-sayuran dan herba kerana semua pokok-pokok dilabel dan tarikan utama adalah tiang tunjuk arah bandar-bandar utama di dunia dan nama lama bandar-bandar tersebut. Juga terdapat sebuah orang-orangan (scarecrow) buat anak-anak yang jarang-jarang dapat melihat orang-orangan secara dekat dan weather station untuk melihat suhu semasa dan aras air hujan.

Harapan kami agar Garden 8 dapat memberi inspirasi pada sesiapa sahaja untuk membangunkan kebun kejiranan di kawasan rumah masing-masing.

Untuk yang ingin berkunjung ke Garden 8, kami mengalu-alukan kedatangan anda.

Jiran Sepakat Bawa Berkat

Untuk info lanjut, boleh rujuk di laman IG: our.j8.abode

Telan belanja sebanyak RM15K

Dihubungi oleh SK, Aida mengatakan bahawa kebun itu memakan masa lebih kurang sebulan untuk disiapkan dan menelan belanja sebanyak RM15,000.

Menurutnya, dia dan suaminya mula membina kebun sendiri terlebih dahulu sebelum mengajak jiran-jiran yang lain.

Pada awalnya saya dan suami mulakan kebun sendiri di kawasan rumah dan bahagian belakang rumah kami, kemudian kami mengajak jiran-jiran lain untuk turut serta membuat kebun di belakang rumah mereka,” katanya ketika dihubungi SK.

Tambahnya lagi, dia dan suaminya hari ini telah memenangi tempat kedua dalam Anugerah Kejiranan Hijau 2021 yang dianjurkan oleh PLAN Malaysia. Kebun Kejiranan merupakan salah satu daripada inisiatif mereka.

Sumber: Aida Haniza Adnan

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.