ALOR SETAR, 10 Nov (Bernama) — Jumlah mangsa banjir di Kedah menunjukkan sedikit peningkatan setakat 8 malam ini apabila angka meningkat kepada 290 orang daripada 80 keluarga berbanding 286 orang daripada 79 keluarga pagi tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata kesemua mereka ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pendang dan Kubang Pasu sehingga malam ini.
“Sebanyak 150 orang daripada 37 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dalam daerah Pendang yang mula diaktifkan pada 24 Okt lepas manakala satu lagi PPS di daerah ini ialah Dewan Cenderawasih diaktifkan pada 2 Nov menempatkan 55 orang daripada 19 keluarga,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Muaz berkata di daerah Kubang Pasu pula, 85 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tradisi Lembah Keriang manakala SK Malau masih diaktifkan walaupun semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
PPS SK Malau itu diaktifkan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir lagi dalam masa terdekat.
Sementara itu, beliau berkata PPS terakhir di daerah Kota Setar iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent yang diaktifkan pada 4 Nov telah ditutup sepenuhnya pada 4 petang tadi.
Sumber: BERNAMA