Seorang lelaki di Singapura yang berusia 36 tahun berjaya diberkas oleh pihak polis selepas didakwa berpura-pura menjadi pakar sakit puan, lapor Berita Mediacorp.
Menurut pihak polis, suspek juga dilaporkan turut meminta seorang wanita untuk menghantarkan gambar-gambar kemaluannya atas alasan ‘tujuan penyelidikan’ kepadanya.
Kegiatannya terbongkar selepas pihak polis menerima satu aduan yang menyatakan seorang lelaki didakwa menyamar menjadi seorang pakar sakit puan dari sebuah hospital pada 24 Julai lalu.
Dia telah mempelawa mangsa untuk menyertai satu kempen ‘meningkatkan kesedaran bagi kesihatan kaum wanita’.
Menurut polis, lelaki itu didakwa membuka satu profil Facebook untuk mewakili dirinya sebagai seorang pakar sakit puan dan meminta mangsa gambar-gambar kemaluannya ‘atas alasan diagnosis perubatan dan tujuan penyelidikan’.
Para pegawai polis kemudiannya berjaya mengenal pasti identiti lelaki berkenaan dan berjaya menangkapnya pada Khamis.
“Siasatan awal mendedahkan lelaki itu dipercayai terlibat dalam kes-kes penipuan serupa yang lain. Peralatan elektronik digunakan dalam melakukan kesalahan itu dirampas sebagai bahan bukti,” menurut Pasukan Pegawai Polis (SPF) dalam satu kenyataan.
Menurut Berita Mediacorp, lelaki itu akan didakwa paa hari ini atas tuduhan menipu dengan menyamar.
“Polis ingin memberi amaran kepada anggota masyarakat bahawa ia adalah satu kesalahan serius untuk menyamar sebagai individu lain dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang secara terang-terangan tidak mengendahkan undang-undang.
“Jika didapati bersalah menipu dengan menyamar, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda atau kedua-duanya sekali,” ujar polis.
Sumber: Berita Mediacorp