Ayah adalah seorang insan yang sanggup mengorbankan apa sahaja demi memastikan bahawa anak-anaknya serba mencukupi.
Ada diantara mereka ini yang sanggup ikat perut berkorban untuk anak-anak. Tak kisah kelaparan, tapi kisah sekiranya anak-anak dan seluruh ahli keluarga mengadu kelaparan.
Jasa dan pengorbanan mereka memang sukar untuk dibalas oleh sesiapa pun.
Seperti dalam satu video yang tular di media sosial ini. Video yang dikongsikan oleh sebuah akaun Instagram bernama @tasiksociety ini memaparkan pengorbanan seorang bapa yang terpaksa menjual barangan di sebuah kedai makan sambil menggendong anak perempuannya.
Kejadian itu difahamkan berlaku di Indonesia. Terlihat bahawa lelaki yang memakai baju kemeja-T berwarna kelabu sambil menggalas beg besar di belakangnya sedang memegang beberapa bungkusan plastik kecil untuk dijual sambil mendukung anak perempuannya.
Kemudiannya, dua beranak ini dilihat duduk di sebuah meja untuk mengalas perut sebelum meneruskan perjalanan mereka.
Menurut kepada individu yang merakam video tersebut, dia sebak apabila mendapat tahu mengapa lelaki tersebut membawa bersama sekali anaknya ketika dia sedang berniaga.
“Ketika ditanya tentang mengapa dia membawa anaknya ikut sekali keluar berniaga, dia menyatakan bahawa isterinya sudah menghilangkan diri, dan dia terpaksa menjaga anaknya sambil mencari rezeki,” tulis kapsyen pada video itu.
Sikap yang ditonjolkan oleh lelaki itu ketika mahu dihulurkan bantuan sangat dipuji apabila dia menolak dan menyuruh supaya bantuan itu dihulurkan kepada mereka yang lebih memerlukan.
“Ketika mahu diberikan sedikit bantuan, dia menyatakan sambil tersenyum, lebih baik ianya diberikan kepada yang lebih memerlukan,” ujarnya.
Oleh kerana dia pun tidak mengharapkan atau meminta-minta sebarang bantuan, pemilik kedai tersebut nekad untuk memberikan mereka makan secara percuma.
“Masa nak bayarkan untuk mereka berdua, pemilik kedai kata tidak perlu kerana mereka ingin beri mereka makan secara percuma di kedai mereka,” tambahnya lagi.
Sudahlah sopan, lelaki itu malahan turut mengangkat pinggan mangkuk yang mereka gunakan itu dan mengemas meja mereka sendiri.
Video yang agak memilukan itu telah menjadi tular di media sosial. Sehingga kini, ianya telah ditonton lebih 38 ribu kali.
Sumber: @tasiksociety