Seorang lelaki warga emas dari Australia dilaporkan selamat dari cengkaman mulut buaya setelah bertindak menikam reptilia tersebut beberapa kali di bahagian kepala dengan pisau poket miliknya.
Menurut laporan The Guardian, lelaki berusia 60 tahun itu sedang memancing di sebuah kawasan persendirian miliknya di Sungai McIvor, Rabu lalu. Tepat sebelum dia melepaskan tali jorannya, seekor buaya tiba-tiba muncul di permukaan air dan mengheret lelaki berkenaan ke dalam sungai.
Reptilia berkenaan dilaporkan menggigit kasut but yang dipakai mangsa sebelum lelaki itu diseret masuk ke sungai. Mangsa dikatakan sempat berpaut pada dahan sebatang pohon sebelum kehabisan tenaga dan terpaksa melepaskan dahan tersebut.
Lapor The Guardian, lelaki itu bagaimanapun berjaya melepaskan diri setelah menikam kepala buaya berkenaan beberapa kali menggunakan pisau yang berada di dalam poketnya.
Tak disangka-sangka, buaya tersebut bertindak melepaskan gigitannya dan mangsa berjaya berenang ke tebing sungai untuk menyelamatkan diri. Lelaki warga emas itu terpaksa memandu sendiri ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Jabatan Sains dan Alam Sekitar setempat, pakar percaya bahawa buaya berkenaan tertarik dengan kehadiran seekor lembu yang sempat dilihat mangsa berada di tebing sungai. Pun begitu, reptilia merbahaya itu tidak ditangkap pihak berkuasa kerana sungai tersebut terletak di kawasan terpencil dan kurang dikunjungi manusia.
Sumber: The Guardian